21 Jun 2021

China rekod pemberian 1 bilion dos vaksin COVID-19

Pelajar universiti beratur bagi menerima suntikan vaksin COVID-19 China National Biotec Group (CNBG) di Wuhan, China. - Foto AFP

BEIJING: China semakin giat melaksanakan usaha membendung COVID-19 di republik itu dengan memberi satu bilion dos suntikan vaksin kepada rakyatnya setakat ini.

Jumlah inokulasi dicapai China itu berlaku selepas dunia merekodkan pemberian vaksin melebihi 2.5 bilion kelmarin.

Bagaimanapun, usaha inokulasi terbesar di negara itu bermula agak lewat selepas kejayaan mengawal pandemik menyebabkan rakyatnya mengambil mudah keperluan mendapatkan imunisasi awal.

Malah, isu membabitkan ketelusan dan skandal berkaitan vaksin mendorong rakyatnya menolak usaha vaksinasi berkenaan.

Pihak berkuasa sebelum ini menyasarkan pemberian vaksin sebanyak 40 peratus daripada hampir 1.4 bilion penduduk China menjelang hujung bulan ini.

Beberapa wilayah turut menawarkan vaksin secara percuma bagi menggalakkan rakyat untuk mengambil imunisasi itu.

Usaha terbabit dapat dilihat apabila penduduk di wilayah Anhui diberikan telur percuma manakala penduduk di Beijing menerima kupon membeli-belah selepas menerima suntikan vaksin.

Sehingga kini, jumlah kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia melebihi 3.8 juta orang dan kebanyakan negara masih bergelut bagi mengawal pandemik itu. - AFP

Tiada ulasan: