27 Jun 2021

Haji: Arab Saudi hantar mesej kepada jemaah berdaftar

 


JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi akan mula menghantar mesej teks kepada individu lingkungan umur 41 hingga 50 tahun yang sudah mendaftar, bagi tujuan perolehan permit haji tahun ini.

Jumlah jemaah berdaftar kini mencecah 558,270 orang, dengan golongan berusia 41 hingga 50 tahun mencakupi 20 peratus daripada mereka yang sudah memperoleh kelulusan.

Menurut laporan Arab News, hari ini, pencalonan elektronik itu akan dibatalkan sekiranya mereka gagal melengkapkan prosedur dalam tempoh ditetapkan bagi setiap kumpulan.

Laman web Kementerian Haji dan Umrah kemudian akan mencalonkan secara elektronik salah seorang daripada 550,000 individu pradaftar.

Proses itu akan diteruskan meliputi baki kumpulan umur, termasuk golongan berusia bawah 20 tahun yang mencakupi kurang tiga peratus daripada jumlah keseluruhan jemaah berdaftar.

Kementerian menetapkan tengah malam Jumaat sebagai tarikh akhir untuk melengkapkan prosedur pendaftaran bagi golongan berumur antara 51 hingga 65 tahun.

Kumpulan umur itu menerima mesej teks meminta masing-masing untuk memuktamadkan prosedur, selain memilih pakej dikehendaki, menyemak terma dan syarat, serta membuat pembayaran pakej dalam tempoh 10 jam ditetapkan kementerian, bagi pengeluaran permit haji selepas mereka memenuhi semua syarat.

Terma perjanjian antara kedua-dua pihak jemaah dan agensi, meliputi pengeluaran kad pengenalan kepada jemaah, pemberian gelang tangan hijau bersama maklumat mereka, serta alamat dan nombor telefon di Tanah Suci.

Dalam pada itu, doktor serta perkhidmatan klinik mini masing-masing khusus untuk jemaah lelaki dan wanita, turut disediakan.

Garis panduan berkaitan juga akan disediakan, selain tenaga kerja untuk pembersihan, perkhidmatan dan keselamatan di kawasan penginapan jemaah haji.

Jemaah haji akan dibekalkan butiran pakej memperinci semua langkah perlu diambil, termasuk waktu berlepas, lokasi penginapan serta alamat.

Jika ada jemaah haji dikesan positif COVID-19, mereka layak mendapatkan pulangan bayaran penuh, tidak termasuk fi pindahan bank. - AGENSI

Tiada ulasan: