22 Jun 2021

PRU-15: PAS yakin Muhyiddin akan buat pertimbangan wajar


KUALA LUMPUR: PAS yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pertimbangan sewajarnya berhubung tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selagi negara masih berdepan krisis pandemik COVID-19.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Perdana Menteri juga dipercayai akan memastikan semua lapisan masyarakat berada dalam keadaan selamat sebelum PRU-15 diadakan.

Beliau menjelaskan, ini kerana PRU membabitkan pergerakan dan perhimpunan besar, malah keadaan berisiko menjadi seperti selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang menyaksikan lonjakan ketara kes positif COVID-19.

"Berdasarkan pemerhatian saya, Perdana Menteri tidak akan mengadakan pilihan raya sekiranya kita masih berada dalam pandemik COVID-19.

"Beliau akan menilai keadaan semasa dan bukan mengadakan (PRU) secara tergesa-gesa.

"Kebiasaannya, beliau juga akan berbincang terlebih dahulu dengan pimpinan parti lain. Beliau tidak akan membuat keputusan sendiri," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Ahli Jawatankuasa (AJK) BERSATU Johor, Datuk Osman Sapian, dilaporkan berkata Perdana Menteri memberi bayangan PRU-15 berkemungkinan diadakan menjelang akhir tahun ini.

Osman yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, perkara berkenaan dinyatakan Presiden BERSATU itu ketika mesyuarat parti peringkat negeri yang diadakan secara maya pada 16 Jun lalu.

Ditanya mengenai persiapan jentera pilihan raya PAS untuk menghadapi PRU-15 pula, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, parti berkenaan sentiasa bersiap siaga.

Beliau memaklumkan selepas setiap PRU, jentera PAS akan terus membuat persiapan dirasakan perlu bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihan raya.

"Itu memang biasa bagi parti politik, kita membuat persiapan sesuai dengan suasana semasa.

"Walaupun kita rasa tidak akan berlaku (PRU-15) dalam musim COVID-19, persiapan serta kursus untuk jentera PAS berjalan seperti biasa. Cuma, kita melakukannya secara maya ketika ini," katanya. BH/-

Tiada ulasan: