22 Jun 2021

Sukar cam Cina Peranakan Kelantan


Masyarakat Cina Peranakan bercucuk tanam sama seperti kebanyakan masyarakat Melayu di Kelantan.

CINA Peranakan di Kelantan sangat unik dan lain daripada yang lain. Mereka yang mengamalkan kehidupan dan budaya Melayu hingga ramai yang keliru sama ada mereka dengan berbangsa Melayu atau Siam.

Bukan setakat bahasa pertuturan, pakaian, makanan dan rupa paras tidak ada bezanya dengan orang Melayu. Kulit Cina Peranakan kebanyakannya sawo matang. Mata tidak terlalu sepet seperti kebanyakan orang Cina lainnya.

Lebih mengelirukan, bahasa Melayu loghat Kelantan mereka sangat pekat dan lancar. Ditambah dengan kain sarung yang tak lekang daripada tubuh, tambah menyukarkan untuk membezakan antara  Cina Peranakan dan Melay 

Seorang penduduk dari generasi kelima, Chu U Liak, 70, dari Kampung Pasir Parit, Chetok, Pasir Mas, berkata bukan semua masyarakat Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung mempunyai darah perkahwinan campur dengan orang tempatan sama ada Melayu atau Siam.

"Nenek moyang kami memasuki Kelantan sejak ratusan tahun dulu dan ada yang pernah berkahwin dengan orang Siam dan tempatan, tetapi tidak semua. Ada yang berkahwin dengan wanita di China dan berhijrah ke sini, seterusnya tinggal di pesisir sungai seperti orang lain.

MASYARAKAT Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung menjalani kehidupan seperti orang Melayu di kampung. - Foto Fathil Asri
MASYARAKAT Cina Peranakan atau juga dikenali Cina Kampung menjalani kehidupan seperti orang Melayu di kampung. - Foto Fathil Asri

CHU U Liak, generasi kelima masyarakat Cina Peranakan di Kelantan. - Foto Fathil Asri
CHU U Liak, generasi kelima masyarakat Cina Peranakan di Kelantan. - Foto Fathil Asri

"Saya melihat kewujudan masyarakat ini lebih kepada campuran budaya dengan orang Melayu dan Siam. Selepas beratus-ratus tahun mewujudkan generasi kedua dalam kelompok masyarakat asal ini, ia sekali gus mengubah budaya dan cara hidup orang Cina Kampung kepada budaya tempatan," katanya .

U Liak yang mempunyai seorang anak dan isterinya baru saja meninggal dunia setahun lalu berkata, istilah Cina Peranakan baru saja diberikan oleh pengkaji, Prof Dr Tan Chee Bee.

Sebelum ini, mereka dikenali dengan pelbagai gelaran seperti Poa Teng Huan (separuh Cina, separuh Melayu) dan Poa Teng Siam (separuh Siam).

Katanya, orang Melayu pula mengenali mereka sebagai Cina Kampung atau Cina Kelantan walaupun masyarakat itu wujud bukan disebabkan darah keturunan perkahwinan campur tetapi dari tempat kelahiran nenek moyangnya di Kelantan dan mengamalkan cara hidup Melayu.

"Jika orang Cina lain mempunyai kulit putih melepak, kebanyakan Cina Peranakan berkulit sawo matang. Bentuk muka juga langsung tidak sama dengan Cina lain, sekali pandang, sukar untuk mempercayai mereka adalah orang Cina kecuali selepas melihat kad pengenalan mereka.

"Susah untuk mendefinisikan masyarakat ini. Apa yang pasti Cina Peranakan merujuk kepada masyarakat Cina Kampung yang mengamalkan budaya hidup kampung seperti orang Melayu dan Siam.

MASYARAKAT Cina Peranakan juga suka memelihara burung merbuk. - Foto Fathil Asri
MASYARAKAT Cina Peranakan juga suka memelihara burung merbuk. - Foto Fathil Asri

"Sekurang-kurangnya dua generasi lahir di Kelantan, menggunakan bahasa Cina Kampung dan Melayu Kelantan. Individu itu juga mesti berbudaya Cina Kampung untuk layak digelar Cina Peranakan," katanya yang juga bekas penghulu Kampung Pasir Parit.

Cina Peranakan turut mengamalkan pemakanan orang Melayu seperti nasi kerabu, budu, sambal belacan dan jering. Malah, mereka juga percaya kepada bomoh iaitu antara kepercayaan yang sinonim dengan orang Melayu atau Siam.

Sementara itu, Koh Guat Sing, 47, berkata Kampung Pasir Parit adalah kawasan penempatan Cina Peranakan terbesar di Kelantan membabitkan keluasan dua kilometer persegi dengan jumlah penduduk lebih 1,000 orang.

Beliau yang juga Penghulu Kampung Pasir Parit berkata, setiap hujung minggu seperti hari Jumaat, penduduk bersama masyarakat Melayu akan berkumpul untuk menjalankan pelbagai aktiviti seperti pertandingan burung candik, yang dianjurkan sendiri oleh masyarakat Cina Peranakan.

"Walaupun kami berlainan bangsa, hubungan erat antara masyarakat Melayu sangat rapat menerusi aktiviti yang dijalankan seperti pertandingan burung candik. Dalam program itu, agak sukar untuk mengenal pasti yang mana Cina Kampung dan yang mana Melayu kerana rupa hampir sama melainkan mereka sudah mengenali antara satu sama lain," katanya yang juga generasi ketujuh Cina Peranakan di Kelantan.

PENGHULU Kampung Pasir Parit, Koh Guat Sing, menikmati minuman di kedai kopi. - Foto Fathil Asri
PENGHULU Kampung Pasir Parit, Koh Guat Sing, menikmati minuman di kedai kopi. - Foto Fathil Asri

Guat Sing berkata, kepercayaan masyarakat Melayu seperti melarang anak bermain di luar rumah pada waktu senja dengan mengadakan pelbagai mitos, antaranya hantu bagi menakutkan anak, turut menjadi amalan Cina Peranakan.

Katanya, mereka yakin kepercayaan itu bertujuan memastikan anak-anak berada di rumah pada waktu berkenaan supaya semua anggota keluarga dapat makan malam bersama.

"Selain itu, permainan wayang kulit turut menjadi kegemaran masyarakat Cina Peranakan, malah ada yang berkebolehan sebagai Tok Dalang," katanya.

Ramai antara Cina Peranakan masih mendiami kawasan pesisir sungai kerana meneruskan cara hidup sejak dulu iaitu bertani. Tidak ramai berpindah ke bandar kecuali golongan muda yang memilih untuk mengubah taraf hidup sendiri.

Namun, dengan hidup bertani, mereka sudah dianggap mewah kerana memiliki tanah puluhan hektar dengan kebanyakannya memfokuskan kepada tanaman padi dan buah salak. BH/-

Tiada ulasan: