29 Julai 2021

China kenakan tindakan keras terhadap syarikat terbesarnya

 Alibaba didenda 18.2 bilion yuan (RM11.85 bilion) oleh pihak berkuasa antimonopoli pada April lalu selepas kerajaan mendakwa ia menyalahgunakan kedudukannya yang dominan di pasaran. - Foto AFP

Alibaba didenda 18.2 bilion yuan (RM11.85 bilion) oleh pihak berkuasa antimonopoli pada April lalu selepas kerajaan mendakwa ia menyalahgunakan kedudukannya yang dominan di pasaran. - Foto AFP

BEIJING: Dengan peraturan dan penyiasatan baharu yang menggoncang pasaran, Beijing melaksanakan tindakan keras terhadap syarikat besar yang terkenal, merangkumi hampir setiap aspek kehidupan moden, membabitkan berbilion dolar daripada saham yang disenaraikan di China dan Hong Kong serta penipuan pelaburan.

Beijing mengambil tindakan terhadap syarikat berkenaan dengan alasan keselamatan negara dan undang-undang antimonopoli.

Saham aplikasi penghantaran makanan Meituan jatuh 15 peratus Jumaat lalu selepas pengawal selia tiba-tiba mengumumkan peraturan perlindungan pekerja baharu minggu ini.

Beijing juga menerapkan peraturan yang mewajibkan syarikat tuisyen menjadi syarikat bukan berasaskan keuntungan dan melarang kelas pada hujung minggu, menyebabkan saham pendidikan swasta jatuh.

Penganalisis berkata, langkah itu menjadikan syarikat terbabit hampir tidak boleh dilaburkan.

Beijing juga mengeluarkan pelombong pasarannya dan pedagang bitcoin serta mata wang digital lain, dengan menangkap lebih daripada seribu orang atas dakwaan pengubahan wang haram menggunakan mata wang kripto pada Jun lalu.

China melarang perdagangan kripto pada tahun 2019 dan beberapa wilayah mengarahkan perlombongan kripto intensif tenaga untuk ditutup dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan alasan kebimbangan mengenai peningkatan penggunaan tenaga.

Gergasi e-dagang Jack Ma, Alibaba, didenda 18.2 bilion yuan (RM11.85 bilion) oleh pihak berkuasa antimonopoli pada April lalu selepas kerajaan mendakwa ia menyalahgunakan kedudukannya yang dominan di pasaran dengan melarang pedagang untuk mengiklankan barang di laman pesaing.

Penyenaraian AS$35 bilion (RM148 bilion) yang dirancang oleh syarikat teknologi kewangan (Fintech), Ant Financial dibatalkan oleh pihak berkuasa akhir tahun lalu, dengan ia diarahkan untuk mengurangkan perkhidmatan kewangannya dan kembali sebagai platform pembayaran dalam talian.

Media sosial dan raksasa hiburan, Tencent mengalami tekanan yang semakin meningkat.

Pengawal selia pasaran menolak penggabungan antara Huya dan Douyu, dua laman strim langsung permainan video terbesar di China yang mana Tencent memiliki sahamnya.

Sementara itu, syarikat induk TikTok Bytedance, Tencent dan puluhan syarikat swasta lain dipanggil oleh pengawal selia pada bulan April dan diminta mematuhi amaran yang dikenakan terhadap Alibaba.

Menurut Bloomberg News, semalam pengawal selia memanggil pegawai bank utama untuk mengadakan pertemuan pada saat-saat akhir bagi menenangkan kebimbangan mengenai tindakan keras itu.

Langkah itu dilakukan selepas beberapa media tempatan pada malam kelmarin menerbitkan semula komen daripada agensi berita rasmi Xinhua yang menyatakan 'asas pengembangan pasaran modal China masih kukuh'.

Saham syarikat teknologi tinggi (Hi-tech) yang teruk terjejas sebelum ini dan tuisyen mencatat kenaikan hari ini, manakala pasaran Hong Kong dan China kedua-duanya melonjak selepas mencatatkan kejatuhan awal minggu ini. - AFP

Tiada ulasan: