SELEPAS lebih enam bulan, Dewan Rakyat kembali bersidang sebaik sahaja Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 membuka tirai pada Isnin.
Dewan Rakyat sepatutnya bersidang pada Januari tetapi terpaksa ditangguhkan susulan Proklamasi Darurat diisytiharkan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19 di Malaysia.
Tidak sampai sejam bersidang pada Isnin lalu, dewan yang mulia itu panas dengan pertikaman lidah.
Tindakan beberapa ahli Parlimen juga menyebabkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun terpaksa meninggikan suara selepas beberapa tegurannya tidak diendahkan.
“Ini apa yang menjerit-menjerit ini? Saya belum selesai lagi cakap. Boleh dengar tidak saya cakap? Kamu bawa peraturan mesyuarat tapi kamu sendiri tidak ikut peraturan mesyuarat.
“Jangan ikut peraturan cuma apabila peraturan itu menyebelahi Yang Berhormat. Peraturan itu terpakai kepada semua. Duduk!” tegas beliau.
Rakyat pula terpaksa menyaksikan kelakuan yang dikuasai emosi serta tutur kata kurang sopan kebanyakan ahli Parlimen ketika berhujah.
Sandiwara di Dewan Rakyat itu boleh ditonton kerana disiarkan secara langsung di pelbagai platform di media sosial. Selama hampir dua jam ahli Parlimen bergaduh mengenai cara hendak berbahas dan mereka tidak mahu mendengar apa-apa keputu-san Speaker yang juga seorang peguam.
“Beginikah keadaan perbahasan di Dewan Rakyat? Suasana tidak ubah seperti sarkas dengan ahli-ahli Parlimen menjerit-jerit tidak tentu hala, malah langsung tidak mengikut peraturan yang ditetapkan,” kata Nizam, seorang peniaga nasi lemak yang pelik melihat keadaan itu.
Dewan Rakyat sepatutnya menjadi platform kepada semua ahli Parlimen untuk berbincang dan mengemukakan pandangan kerana rakyat pada hari ini berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang mengancam kehidupan dan menjejaskan ekonomi mereka.
“Sepatutnya, mereka ambil peluang daripada mesyuarat khas ini untuk membincangkan masalah rakyat yang terkesan akibat Covid-19 atau mencari jalan yang terbaik untuk menghapuskan pandemik. Ini yang rakyat mahu dengar,” katanya lagi.
Suhu persidangan setakat ini sentiasa panas seolah-olah menjadi medan melepas geram dan dendam selepas enam bulan tidak bersidang.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan pengumuman darurat tidak disambung sambil melabelkan tindakan berkenaan tidak menghormati Perlembagaan dan Raja Berperlembagaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut �diserang’ kerana dikatakan menjadi penyebab berlakunya peningkatan kes Covid-19 susulan lambakan kluster kilang.
Penerangan mengenai tindakan menangani pandemik Covid-19 oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang mengambil masa lebih 45 minit turut mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.
Perlu diakui bahawa budi bahasa adalah norma kehidupan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan santun perkataannya dan indah pertuturannya namun budaya perbahasan dan perdebatan yang tercabut adab dan akhlak dipamer dalam dewan yang begitu mulia itu.
Sebagai wakil rakyat, mereka seharusnya menunjukkan komitmen penuh sebagai pembawa hasrat dan aspirasi rakyat, bukan sekadar melunaskan cita-cita peribadi.
Tempoh lima hari bersidang sepatutnya digunakan dengan sebaik-baiknya oleh ahli Parlimen untuk membincangkan masalah-masalah rakyat yang terkesan secara tuntas dan mencari resolusi terbaik menangani pandemik.
Rakyat sangat teruja mengikuti perbahasan Parlimen kerana rakyat Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka. Kualiti perbahasan dan kewibawaan 222 ahli Parlimen sedang dinilai.
YB semua, tolonglah jaga akhlak, malu rakyat tengok!
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian
Sinarharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan