10 Julai 2021

Kadar vaksin tinggi perlu untuk halang varian Delta

 Panel saintis yang menasihati kerajaan Perancis mengenai kesihatan memaklumkan kadar vaksin tinggi perlu untuk halang varian Delta. - Foto AFP

Panel saintis yang menasihati kerajaan Perancis mengenai kesihatan memaklumkan kadar vaksin tinggi perlu untuk halang varian Delta. - Foto AFP

PARIS: Panel saintis yang menasihati kerajaan Perancis mengenai kesihatan semalam memberi amaran bahawa sebanyak 95 peratus rakyat mungkin perlu diberi vaksin untuk menghalang penyebaran varian Delta COVID-19.

Dengan kes yang meningkat, 'gelombang keempat yang berkait dengan varian Delta boleh menyerang dengan cepat, dengan ia memberi kesan terhadap sistem kesihatan walaupun tahap vaksinasi tinggi', kata Majlis Saintifik.

"Kita tidak dapat mengawal wabak ini kecuali 90 hingga 95 peratus orang diberi vaksin atau dijangkiti," tambah mereka.

Setakat ini hanya sekitar separuh rakyat Perancis yang menerima suntikan dos pertama dan 40 peratus sudah menerima dua dos, dengan kerajaan berhasrat untuk mendapatkan dua pertiga - 35 juta - dilindungi sepenuhnya pada akhir Ogos.

"Sekiranya orang menunggu sehingga selepas cuti musim panas untuk mendapat vaksin, itu akan terlambat," kata ahli epidemiologi dan ahli Majlis Saintifik, Arnaud Fontanet kepada penyiar RTL, sambil mengingatkan bahawa suntikan vaksin itu 'sangat berkesan dan percuma'.

Dengan jumlah kes meningkat selepas siri langkah pembukaan semula, Presiden Emmanuel Macron diharapkan akan membentangkan langkah selanjutnya dalam menangani pandemik terbabit dalam perutusan di TV malam Isnin.

Agenda pada mesyuarat majlis pertahanan Perancis pada awal Isnin ialah sama ada menjadikan vaksinasi wajib bagi pekerja kesihatan, satu cadangan utama dari saintis.

Menteri boleh menyetujui rancangan undang-undang itu seawal Selasa sebelum membawanya ke Parlimen.

Majlis Saintifik juga mendesak supaya mengukuhkan program jejak dan kesan negara, dan menyerlahkan peningkatan jumlah kemasukan ke hospital kerana varian Delta - yang pertama kali dikesan di India - di England, Scotland, Ireland dan Portugal.

Strain ini telah menyebabkan separuh daripada jangkitan baru di Perancis dan dipercayai sekitar 60 peratus lebih mudah berjangkit.

"Tanpa langkah-langkah pengawalan jangkitan, mungkin akan berlaku kemuncak mereka yang dirawat di hospital, sama seperti yang terjadi pada musim luruh 2020," organisasi penyelidikan Institut Pasteur memberi amaran, sambil menambah bahawa mereka yang berumur lebih dari 60-an yang tidak divaksinasi tetap berisiko.

Nasihat lain termasuk mengurangkan bilangan orang yang dibenarkan menghadiri acara, sekatan setempat dan mengurangkan masa antara dos pertama dan kedua vaksin mRNA seperti Pfizer / BioNTech dan Moderna dari enam hingga tiga atau empat minggu. - AFP

Tiada ulasan: