10 Julai 2021

Kerajaan hari ini sah, berjalan seperti biasa - Takiyuddin

  Takiyuddin menyampaikan bakul makanan kepada wakil penghulu untuk diagihkan kepada penduduk selepas menyampaikan Bakul Makanan menerusi program PEMULIH di Kampung Tanjung Chat, di sini, hari ini. FOTO NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Takiyuddin menyampaikan bakul makanan kepada wakil penghulu untuk diagihkan kepada penduduk selepas menyampaikan Bakul Makanan menerusi program PEMULIH di Kampung Tanjung Chat, di sini, hari ini. FOTO NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) masih kerajaan yang sah mengikut undang-undang dan Perlembagaan manakala kepemimpinan yang ada berjalan seperti biasa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara itu disahkan Peguam Negara yang menjelaskan penentuan sebuah kerajaan adalah melalui Ahli Dewan Rakyat.

"Setakat hari ini, kita dimaklumkan tiada seorang pun Ahli Parlimen yang menarik diri daripada menyokong kerajaan mengikut undang-undang ditetapkan.

"Selain itu, PAS juga tiada masalah dalam mempertahankan kedudukan kerajaan kerana janji parti ini adalah jelas sebagai mana kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahan PN.

"Kerajaan dibina bersama parti yang menyokong, bukan hanya satu parti tetapi lebih 10 parti," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bakul Makanan menerusi Pakej-Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH)di Kampung Tanjung Chat, di sini, hari ini.

Rabu lalu, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat keputusan parti itu menarik balik sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, berkuat kuasa serta-merta.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Mengulas lanjut mengenai pandangan segelintir pihak mendakwa kerajaan gagal menguruskan negara dalam pandemik COVID-19, Takiyuddin menegaskan kerajaan hari ini bukan kerajaan yang gagal.

"Bagi saya, kerajaan gagal adalah pada asalnya menjadi kerajaan dan sekarang bukan lagi kerajaan, itulah yang gagal.

"Orang yang tak jadi kerajaan kemudian jadi kerajaan, itu kerajaan berjaya," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: