10 Julai 2021

Gandakan amalan pada 10 awal Zulhijah

Esok, kita akan masuk ke bulan Zulhijah yang juga dikenali sebagai bulan haji.

Walaupun, tahun ini umat Islam di Malaysia terpaksa menangguhkan sekali lagi fardu haji, namun masih ada peluang untuk kita merebut pahala amalan dalam 10 hari pertama Zulhijah.

Bagi menguatkan hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu”. (Riwayat al-Bazzar)

  • Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar).

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu. (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a menafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijah dan inilah pendapat majoriti ulama.

  • Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijah. Tarikh 9 Zulhijah iaitu Hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Bagaimanapun, tidak ada kelebihan atau ganjaran khusus bagi puasa sunat bermula 1 hingga 8 Zulhijah kecuali pada hari Arafah iaitu hari ke-9 Zulhijah.

  • Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.
  • Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijah adalah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya.

Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

  • Kelima adalah takbir: Saidina Ali menunjukkan bahawa takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyrik.
  • Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)

Antara dalil al-Quran dan hadis yang menyebut tentang kelebihan 10 hari awal Zulhijah.

  • Firman Allah SWT yang bermaksud: (Demi fajar dan malam yang sepuluh). (al-Fajr: 1-2)

Menurut Ibnu Kathir: Yang dimaksudkan di sini ialah 10 malam yang pertama bulan Zulhijjah. Demikian juga tafsiran Ibnu Abbas, Ibnu Az-Zubair, Mujahid dan lainnya. (Riwayat Bukhari)

  • Daripada Ibnu Umar r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada hari yang lebih besar di sisi Allah SWT dan beramal padanya lebih dikasihi oleh Allah dari hari-hari yang 10 ini. Maka perbanyakkanlah padanya bertahlil, bertakbir dan bertahmid”. (Riwayat Ahmad)
  • Menurut al-Hafiz Ibnu Hajar: Yang jelasnya, di antara sebab keistimewaan 10 hari Zulhijah ialah terhimpun di dalamnya beberapa ibadat yang besar iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Pada waktu lain, ibadat-ibadat ini tidak pernah terhimpun sebegitu.
  • Puasa. Daripada Hunaidah bin Khalid, daripada isterinya, daripada sebilangan isteri-isteri Rasulullah SAW berkata: “Rasulullah SAW berpuasa pada hari sembilan Zulhijah, pada hari Asyura (10 Muharam) dan tiga hari pada setiap bulan”. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
  • Kelebihan Hari Raya Aidiladha (Yaum an-Nahr) pada 10 Zulhijah. Kebanyakan orang Islam telah lupa akan kelebihan hari ini. Kebesaran dan kelebihan perhimpunan umat Islam yang begitu ramai dari seluruh pelosok dunia.

Sesetengah ulama berpendapat hari ini adalah yang paling afdal dalam setahun sehingga melebihi hari Arafah.

Kesimpulan:

# Dianjurkan untuk tidak memotong kuku dan memotong rambut bermula 1 Zulhijah (11 Julai 2021)  sehingga hari sembelihan bagi mereka yang melakukan ibadah korban.

# Haram berpuasa pada 20 Julai 2021 (10 Zulhijah) sehingga 23 Julai 2021 (13 Zulhijah)

# 11 Julai 2021 sehingga 19 Julai 2021 disunatkan berpuasa dan memperbanyakkan amalan soleh kerana pahalanya akan dilipatgandakan.

# Puasa Arafah 19 Julai 2021 (9 Zulhijah)

Utusan Digital/-

Tiada ulasan: