LONDON: Kadar vaksinasi Malaysia adalah antara yang terpantas di dunia, dengan suntikan pelalian COVID-19 mencecah lebih daripada 400,000 dos sehari.
Beberapa minggu sebelum ini, Kanada yang mempunyai jumlah penduduk hampir sama dengan Malaysia, pernah mencapai angka sedemikian.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata kerajaan dapat mempercepatkan inokulasi selepas rundingan semula dua bulan lalu bagi pembelian, pembekalan dan penghantaran vaksin, 70 peratus daripadanya jenis Pfizer.
"Sebahagian besar vaksin yang dibeli adalah Pfizer dan kami memutuskan sejak awal lagi untuk mempelbagaikan vaksin kerana berpendapat adalah bahaya bagi bergantung kepada sejenis vaksin saja.
"Kini, kami berada dalam keadaan kritikal dan perlu memperhebatkan program inokulasi bagi mewujudkan imuniti kelompok dan keluar daripada pandemik ini," katanya dalam temu bual dengan The Sydney Morning Herald dan The Age.
Selain Pfizer, Malaysia turut mendapat bekalan vaksin Sinovac keluaran China, AstraZeneca, vaksin dos tunggal CanSino dan vaksin lain hasil rundingan melalui pelan peruntukan vaksin COVID-19 global (COVAX).
Walaupun bermula agak perlahan, kira-kira suku daripada penduduk di Malaysia sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan kerajaan menyasarkan 40 peratus dewasa akan divaksinasi sepenuhnya menjelang penghujung Ogos ini.
Kerajaan turut yakin kira-kira 60 peratus penduduk berjaya divaksinasi pada penghujung September sekiranya pembekal memenuhi komitmen ditetapkan.
Menurut Khairy, menerusi rundingan semula dengan Pfizer, vaksin keluaran firma dari Amerika Syarikat (AS) itu akan menghantar 25 juta dos di antara bulan ini dan September nanti.
Skala penularan wabak yang semakin membimbangkan itu turut mengubah dan mengimbangi keraguan masyarakat sebelum ini terhadap keberkesanan vaksin.
Setakat semalam, kadar kematian COVID-19 di Malaysia meningkat kepada 6,503 orang dan jangkitan baharu mencapai 11,618 kes.
Khairy turut mengulas ketidakpuasan hati segelintir pihak terhadap cara kerajaan menangani pandemik COVID-19, memandangkan Malaysia pernah mencatatkan kadar sifar kes wabak itu pada 7 Julai tahun lalu.
"Negara yang berjaya mengekang penularan kes COVID-19 pernah melalui detik sukar sebelum ini.
"Jika anda melihat negara yang sudah pulih, mereka sebenarnya sudah melalui keadaan lebih teruk sebelum ini dan diselamatkan dengan bekalan vaksin yang tiba awal," katanya.
Tambahnya, sudah pasti ada kelemahan dalam pengurusan COVID-19 dengan cabaran besar memastikan pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP), memandangkan kebanyakannya mengalami kelesuan pandemik.
"Saya tidak menyalahkan rakyat, bukan mudah untuk membiasakan diri dengan pelbagai sekatan yang menyukarkan dan mengehadkan pergerakan.
"Akhirnya, dalam keadaan begini, tentunya ada masyarakat yang alpa," katanya. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan