11 Julai 2021

Malaysia di landasan tepat capai imuniti kelompok

 Foto fail NSTP

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia berada di landasan yang tepat bagi mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pencapaian kadar vaksinasi harian negara melepasi purata per kapita dunia apabila mencatat sejumlah 250,000 dos suntikan sehari secara konsisten dan disasarkan 300,000 dos sehari mulai bulan ini.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Jawatankuasa Teknikal COVID-19 pada sidang media, baru-baru ini, mengeluarkan analisis dapatan data terkini perkembangan kes COVID-19 di seluruh dunia.

"Di Afrika, kadar peningkatan kes jangkitan COVID-19 meningkat kepada 16.7 peratus manakala di kawasan timur Mediterranean pula mencatatkan 16.4 peratus.

"Di Malaysia, kemajuan kadar vaksinasi harian sudah melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia," katanya dalam kenyataan berhubung perkembangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Ismail Sabri berkata, kadar kemajuan vaksinasi di Malaysia memberi gambaran bahawa negara berada di landasan tepat untuk mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat, sekali gus membolehkan rakyat kembali kepada kehidupan normal.

Justeru, beliau meminta rakyat terus meningkatkan kawalan kendiri dengan duduk di rumah dan hanya keluar jika ada keperluan serta mematuhi SOP ditetapkan bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti. BH/-

Tiada ulasan: