07 Julai 2021

Perak kini benarkan jemaah ikut luas dewan utama masjid, surau


IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, memperkenankan solat fardu, Jumaat dan sunat Aidiladha diadakan di masjid dan surau mengikut keluasan dewan utama dengan mematuhi jarak fizikal ditetapkan dalam tempoh pelan pemulihan negara berfasa di Perak.

Selain itu, solat sunat Aidiladha turut dibenarkan diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan dengan memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha kepada polis.

Bagaimanapun, sebarang aktiviti termasuk mendirikan solat Jumaat, fardu, jenazah dan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau dalam kawasan diisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak dibenarkan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini, berkata Sultan Nazrin memberi perkenan itu selepas berpuas hati terhadap keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi serta melaksanakan garis panduan operasi (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak.

Beliau berkata, ia turut serta berlandaskan sembah nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan berkuat kuasa mulai solat Maghrib, esok.

"Semua masjid boleh menerima bilangan jemaah solat Jumaat dan solat fardu mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan.

"Ia turut membolehkan semua surau termasuk surau dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang mendirikan Solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan Solat Jumaat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Annuar berkata, selain itu, semua masjid dan surau boleh mengadakan solat sunat Aidiladha dengan menerima bilangan jemaah mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan.

"Solat sunat Aidiladha dibenarkan diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan perumahan dengan memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum Hari Raya Aidiladha kepada balai polis atau pondok polis terdekat.

"Selain itu, solat jenazah dibenarkan di masjid dan surau dengan jemaah lelaki sahaja terbatas kepada ahli-ahli kariah," katanya.

Menurutnya, kuliah ilmu dibenarkan diadakan di masjid dan surau iaitu dalam ruang waktu antara selesai Solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu Solat Isyak dan aktiviti dihentikan sebaik masuk waktu Solat Isyak.

Katanya, kuliah ilmu tidak melebihi 30 minit kepada jemaah yang berada dalam masjid dan surau sementara menanti azan Solat Jumaat.

"Jemaah yang dibenarkan berjemaah di masjid dan surau untuk solat Jumaat dan solat jenazah adalah jemaah lelaki sahaja, warga negara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas, manakala solat fardu dan solat sunat Aidiladha pula jemaah lelaki dan wanita, warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

"Kumpulan berisiko tinggi (terutama kalangan yang menghidap penyakit tertentu) dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau dan turut tidak dibenarkan diadakan jamuan dalam masjid dan surau, merangkumi perkarangan masjid dan surau," katanya.

Mohd Annuar berkata, Orang Besar Jajahan bersama Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir Agama Daerah diberikan kuasa budi bicara untuk mengarahkan masjid atau surau di kariah atau mukim dalam daerah masing-masing ditutup sementara dan tidak dibenarkan mendirikan solat berkenaan apabila mendapat nasihat atau maklum balas dari MKN, KKM dan polis jika ada berlakunya penularan wabak dalam kariah atau mukim berkaitan.

"Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan garis panduan terperinci kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan menurut yang ditetapkan," katanya.

Tiada ulasan: