23 Ogos 2021

China siasat kes rasuah pegawai tinggi kerajaan Hangzhou

 Setiausaha Jawatankuasa Parti Perbandaran Hangzhou, Zhou Jiangyong. - Foto AGENSI

Setiausaha Jawatankuasa Parti Perbandaran Hangzhou, Zhou Jiangyong. - Foto AGENSI

BEIJING: Bandar yang menjadi tempat tinggal pemilik syarikat Ant Group dan Alibaba Group Holding menjadi tumpuan apabila China menjalankan siasatan terhadap pegawai tinggi kerajaan Hangzhou kerana didakwa melakukan pelanggaran disiplin yang serius.

Setiausaha Jawatankuasa Parti Perbandaran Hangzhou, Zhou Jiangyong, 53, disiasat kerana melakukan pelanggaran serius disiplin parti dan undang-undang negeri, kata Suruhanjaya Pusat untuk Penyiasatan Disiplin (CCDI) dalam satu kenyataan kelmarin.

Meskipun suruhanjaya itu tidak memperincikan jenis kesalahan yang didakwa dilakukan Jiangyong, istilah itu selalu digunakan untuk menggambarkan siasatan kes rasuah.

Selepas pengumuman siasatan terhadap Jiangyong, Jawatankuasa Tetap Perbandaran Hangzhou, semalam mengadakan mesyuarat menegaskan komitmen agensi terhadap antirasuah dan urus tadbir bertanggungjawab.

CCDI dalam satu kenyataan berasingan memaklumkan, pihak perbandaran akan menjalankan kempen untuk membongkar pertalian jenayah antara kerajaan dan perniagaan.

Catatan di akaun media sosial sepanjang minggu lalu, mendakwa keluarga Jiangyong membeli saham sebuah syarikat Fintech (teknologi kewangan) menjelang tawaran awam permulaan (IPO) November lalu, sebelum rancangan penyenaraian itu dibatalkan.

Perkara itu dilaporkan menerusi sebuah artikel dari Chnfund yang diterbitkan dalam The Paper, iaitu sebuah penerbitan dimiliki entiti media, Shanghai United Media Group yang disokong kerajaan.

Sejak itu hantaran berkenaan yang tidak menamakan syarikat dipadam, dakwa artikel berkenaan.

Ant Group semalam menafikan terdapat beberapa individu tertentu yang membeli saham syarikat terbabit menjelang IPO yang dirancang tahun lalu seperti diperkatakan menerusi 'khabar angin dalam talian' kebelakangan ini.

Firma itu bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut siapa yang pihaknya rujuk itu, sambil menambah pihaknya mematuhi semua perundangan dan peraturan melalui proses penyenaraian.

Pengawalselia mengarahkan pemberhentian IPO sejumlah AS$35 bilion (RM148 bilion) oleh Ant Group beberapa hari sebelum penerbitan sulungnya tahun lalu, selepas pengasasnya mengkritik pengawalselia kewangan secara terbuka.

Saham Alibaba turun sebanyak 3.9 peratus pada awal dagangan hari ini, sebelum kembali untung.

Indeks Teknologi Hang Seng naik 4.1 peratus, pulih dari kemerosotan 11 peratus minggu lalu.

Hangzhou berkembang menjadi salah sebuah bandaraya di China paling mewah kerana sebahagian besar 'kekayaannya' disumbangkan syarikat Alibaba dan kumpulan gabungan. - BLOOMBERG

Tiada ulasan: