01 Ogos 2021

CIMB lancar akaun simpanan Islam digital sulung

 Akaun Simpanan-i CIMB OctoSavers

Akaun Simpanan-i CIMB OctoSavers

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd melancarkan Akaun Simpanan-i CIMB OctoSavers, akaun simpanan Islam digital pertama bank itu, bersama dengan CIMB OctoDebit MasterCard yang baharu.

Akaun-i OctoSavers disediakan khusus untuk kemudahan pelanggan baharu berikutan pembukaan akaun dan proses penyertaan dibuat sepenuhnya dalam talian.

Manakala, kad debit akan dihantar kepada pelanggan, sekali gus memastikan pengalaman tanpa cawangan yang mudah, menurut bank itu dalam kenyataannya hari ini.

Prosedur pembukaan akaun dalam talian sepenuhnya dapat dilakukan dengan memanfaatkan garis panduan Kenali Pelanggan Anda secara elektronik (e-KYC) Bank Negara Malaysia (BNM).

CIMB dapat memenuhi keperluan untuk menjalankan usaha wajar pelanggan melalui cara elektronik, termasuk dalam talian dan saluran mudah alih.

Bank itu berkata, penyertaan digital yang menyeluruh dan baharu membantu untuk terus melindungi kesihatan pelanggan semasa pandemik kerana mereka tidak perlu mengunjungi cawangan.

Pelanggan baharu warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas boleh membuat permohonan untuk Akaun-i OctoSavers melalui aplikasi CIMB Apply, yang boleh dimuat turun daripada Google Play dan Apple App Store.

Proses pengesahan pelanggan melalui e-KYC akan dijalankan melalui aplikasi.

Sementara itu, pelanggan CIMB sedia ada yang mempunyai akaun simpanan atau semasa dengan alamat di Malaysia boleh memohon untuk Akaun-i OctoSavers melalui laman web CIMB Clicks di www.cimbclicks.com.my.

-BERNAMA

Tiada ulasan: