25 Ogos 2021

Menanti Kabinet Keluarga Malaysia

 Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Sejak beberapa hari lalu, tular pelbagai versi senarai anggota Kabinet baharu.

Walaupun disahkan sebagai palsu, perbincangan mengenai Kabinet yang bakal dibentuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa mencuri tumpuan.

Memasuki hari kelima menduduki jawatan nombor satu itu, Ismail Sabri dijangka tidak mengambil masa yang lama untuk mengumumkan senarai nama 'pasukan impiannya'.

Ini diperkuatkan dengan sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong oleh Perdana Menteri yang dikatakan akan berlangsung hari ini.

Sudah menjadi kelaziman untuk Perdana Menteri menghadap Seri Paduka pada Rabu sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet, namun pada masa ini, Kabinet kerajaan baharu pimpinan Ahli Parlimen Bera itu belum dibentuk.

Mengambil kira fakta itu, ramai yang menjangka perbincangan dalam sesi menghadap hari ini akan berkisar kepada mempersembahkan senarai nama anggota Kabinet untuk diberi perkenan oleh Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemerhati politik berpendapat sekiranya diberi perkenan, majlis angkat sumpah anggota Kabinet dijangka berlangsung minggu ini dan paling cepat esok.

Paling mencuri tumpuan ialah siapa yang bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Sumber BERSATU mendakwa Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin hampir pasti dilantik ke jawatan itu.

Namun beberapa nama pemimpin kanan BERSATU lain turut disebut-sebut selain terdapat desakan supaya tokoh dari Sabah atau Sarawak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Dengan pelbagai desakan, ada pemerhati yang berpendapat jawatan itu boleh ditiadakan sebagaimana era pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebaliknya diganti dengan beberapa jawatan Menteri Kanan.

Turut dinantikan ialah saiz Kabinet Ismail Sabri. Parti kerajaan dan pembangkang seakan mencapai kata sepakat mahu melihat ia dikecilkan, bukannya sehingga 70 orang sewaktu pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sekiranya dikecilkan, ia pasti menuntut kebijaksanaan Ismail Sabri dalam aspek pengagihan portfolio kerana kerajaan diketuainya dibentuk pelbagai parti komponen Barisan Nasional (BN), PN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Walau apapun bentuk Kabinet Keluarga Malaysia, lebih utama ialah pembentukannya mesti disegerakan kerana negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

Pasukan yang mantap perlu dibentuk dengan cepat kerana di bahu mereka tergalas tanggung jawab besar untuk membawa keluar negara daripada pandemik dan masalah ekonomi yang semakin menekan rakyat.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, pembentukan Kabinet bukan sahaja perlu dipercepatkan tetapi ia mestilah memenuhi pengharapan rakyat yang ternanti-nanti pendekatan yang bakal diambil Perdana Menteri dalam memerangi COVID-19 dan masalah ekonomi melalui pendekatan Keluarga Malaysia.

Katanya, selain memenuhi harapan rakyat, Ismail Sabri juga perlu melihat secara menyeluruh bagi mengimbanginya dengan permuafakatan semua parti gabungan yang memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri.

Beliau berkata, permuafakatan itu mesti dijaga bagi mengelakkan berlakunya pertembungan dalam kalangan pemimpin politik yang akhirnya menjejaskan kestabilan negara sehingga rakyat menerima kesan buruk.

"Dalam hal ini, Perdana Menteri mesti melihat secara keseluruhan iaitu keseimbangan antara keperluan rakyat dan bagi memastikan kerajaan kekal kuat yang merupakan sebahagian elemen utama dalam rancangan pembangunan negara.

"Sekiranya pembentukan Kabinet gagal mengambil kira rekonsiliasi parti gabungan, kita khuatir berlaku lagi pertembungan dalam kalangan ahli politik sehingga menyebabkan kerajaan berpecah.

"Beliau mesti memperakui kedudukan semua parti dalam kerajaan dan melihat kepentingan parti ini dan kepentingan rakyat secara bersama," katanya. BH/-

Tiada ulasan: