24 Ogos 2021

Thailand keluarkan ketum dari senarai dadah berbahaya

 Gambar diedarkan Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) menunjukkan daun ketum di sebuah ladang di Nonthaburi. - Foto AFP

Gambar diedarkan Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) menunjukkan daun ketum di sebuah ladang di Nonthaburi. - Foto AFP

BANGKOK: Thailand hari ini mengeluarkan ketum, yang sekian lama digunakan sebagai ubat herba, daripada senarai dadah berbahaya, sekali gus membolehkannya digunakan secara terbuka.

Bagaimanapun, tindakan itu dikritik pengawal selia perubatan beberapa negara lain sebagai tidak selamat kerana wujud risiko ketagihan dan penyalahgunaan.

Ketum atau nama saintifiknya, Mitragyna speciosa, adalah spesies pokok kopi yang sudah berkurun lamanya digunakan di Asia Tenggara dan Papua New Guinea kerana mampu mengurangkan kesakitan dengan sedikit kesan mengkhayalkan.

Ia kini semakin popular di Amerika Syarikat (AS), di mana Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) memberi amaran mengenai penggunaannya kerana risiko menyebabkan ketagihan dan salah guna.

Jurucakap kerajaan, Anucha Burapachaisri, dalam satu kenyataan, berkata pindaan undang-undang di Thailand itu bermakna ketum kini boleh digunakan, dimakan, diminum atau dijual beli secara sah.

"Pada masa sama, lebih 1,000 banduan menjalani hukuman kerana didakwa melakukan pelbagai kesalahan berkaitan ketum akan dibebaskan," katanya.

Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Thailand menganggarkan bahawa tindakan 'menghalalkan' ketum itu akan menjimatkan kos pendakwaan sekitar 1.69 bilion baht (RM210 juta) yang perlu ditanggung pihak berkuasa.

Ketum merangsang reseptor otak, sama seperti morfin tetapi kesannya lebih ringan dan di Thailand, ia banyak digunakan di bahagian selatan, terutama dalam kalangan mereka yang bekerja sebagai buruh kasar.

Penggunaan ketum tidak dikenakan sekatan antarabangsa walaupun pada bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan ia sedang memeriksa sama ada ia perlu dikawal.

Pemerhati Hak Asasi Manusia, Phil Robertson, pula berkata tindakan 'menghalalkan' ketum dari Thailand, Malaysia, Indonesia dan Papua New Guinea disambut baik dan sudah lama ditunggu.

"Kelulusan untuk penggunaan ketum di Thailand menamatkan legasi penyalahgunaan hak terhadap ubat itu, yang sekian lama digunakan secara tradisional oleh masyarakat luar bandar," katanya kepada AFP.

Ketum atau nama saintifiknya, Mitragyna speciose adalah sebahagian daripada ahli keluarga tumbuhan kopi, yang digunakan sejak berkurun lama di Asia Tenggara dan Papua New Guinea bagi melegakan kesakitan.

Ia juga semakin popular di Amerika Syarikat sehingga Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) mengeluarkan amaran mengenai penggunaanya, selain turut menekankan risiko ketagihan dan penyalahgunaannya. - AFP

Tiada ulasan: