24 Ogos 2021

120 hotel di Malaysia henti operasi akibat COVID-19

Industri perhotelan masih tidak dapat menjana pendapatan yang mencukupi untuk terus bertahan - Foto hiasan
Industri perhotelan masih tidak dapat menjana pendapatan yang mencukupi untuk terus bertahan - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Persatuan Hotel Malaysia (MAH) menganggarkan kira-kira 120 hotel terpaksa ditutup sehingga kini, sama ada buat sementara atau sepenuhnya akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MAH, Yap Lip Seng, berkata industri itu mengalami kerugian lebih RM6.5 bilion dari segi pendapatan pada 2020 dan berkemungkinan sebanyak RM9 bilion lagi setakat tahun ini.

Mengakui kesukaran dihadapi peserta dalam industri ini, beliau menegaskan bahawa MAH sejak awal pandemik telah melobi sokongan dan bantuan daripada kerajaan termasuk pelbagai inisiatif untuk meningkatkan pelancongan domestik.

"Namun amat malang, memandangkan sekatan pergerakan dan larangan perjalanan yang dikenakan ketika ini, industri perhotelan masih tidak dapat menjana pendapatan yang mencukupi untuk terus bertahan, sekali gus memberi kesan langsung kepada kehidupan tenaga kerjanya.

 "Justeru, dalam usaha untuk menyokong ahli kami, MAH melancarkan program MAH Cares, dengan memperuntukkan bantuan makanan bernilai RM200,000 melalui wakil persatuan negeri untuk mengedarkan barang keperluan dan bekalan makanan kepada pekerja dalam industri hotel yang memerlukan.

"Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada ribuan keluarga dengan keperluan asas dan barang keperluan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, inisiatif itu juga akan meningkatkan kesedaran mengenai keperluan industri selain mendorong sektor awam serya swasta menyokong industri pelancongan dan hotel di Malaysia.

"Program ini mendapat tajaan daripada Yeo Hiap Seng (Yeo's), jenama makanan dan minuman isi rumah yang dikenali di Malaysia.

"Bekerjasama dengan Yayasan Amal Ng Teng Fong, Yeo's telah melengkapi program MAH Cares dengan bekalan makanan dan minuman bernilai lebih RM100,000.

"Tajaan secara langsung akan membolehkan MAH menyokong lebih banyak keluarga yang memerlukan pertolongan dengan serta-merta," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: