03 Ogos 2021

Tindakan tegas kepada Ahli Parlimen Pembangkang sertai himpunan , UMMAH buat laporan polis


Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan serta mendesak #PDRM mesti mengambil tindakan tegas terhadap semua peserta yang menyertai perhimpunan haram termasuk ahli-ahli Parlimen pembangkang di Dataran Merdeka sebentar tadi.

Seperti yang dimaklumkan oleh Dato’ Seri Ismail Sabri, Timbalan Perdana Menteri bahawa sebarang perhimpunan sewaktu COVID-19 adalah tidak dibenarkan dan salah dibawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Oleh itu, UMMAH mendesak agar semua ahli Parlimen pembangkang yang menyertai himpunan tersebut dikenakan tindakan tegas oleh PDRM.

Perbuatan berhimpun yang sudah jelas menyalahi SOP ini membawa kemarahan rakyat yang selama ini bersabar mematuhi peraturan, walaupun turut terkesan dengan wabak COVID-19.

PDRM mesti bertindak tegas terhadap kesalahan SOP sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Rakyat boleh bersabar memgenai isu buka surau dan masjid. Begitu juga isu buka perniagaan, rakyat masih sabar walaupun menanggung kerugian. Tetapi perkara yang jelas salah dengan mengadakan himpunan seperti ini mengguris hati rakyat.

Sepatutnya Ahli parlimen pembangkang menunjukkan contoh terbaik dan bukannya mempamerkan perbuatan negatif sehingga menjejaskan usaha kerajaan dalam memulihkan negara pada fasa COVID-19.

UMMAH juga menyeru kepada seluruh rakyat dan para pemimpin untuk mematuhi segala peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan demi memastikan negara berjaya keluar daripada wabak COVID-19.

UMMAH juga telah membuat satu laporan polis pada petang tadi sebagai pemula, dan menyeru pemimpin semua NGO dan NGI yang cintakan keselamatan negara ini agar membuat laporan polis bagi mengekang sebarang tindakan yang cuba merosakkan negara ini.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH)
2 Ogos 2021

Tiada ulasan: