20 September 2021

Guna tong ikan redah banjir.

KUALA SELANGOR: Tong ikan menjadi pilihan dua beradik untuk mengharung banjir selepas perkarangan rumah nenek mereka digenangi air di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya, dekat sini.

Nenek mereka, Rubiah Fakir Khan, 60, berkata, cucunya, Nur Salsabila Mohd Saffiq, 7, dan Muhammad Shaqiri Khan Mohd Saffiq, empat, duduk di dalam tong ikan tidak berpenutup itu pada jam 3 petang, hari ini.

"Mereka diletakkan dalam tong ikan itu ekoran paras air tinggi selain keadaan jalan yang tidak selamat.

"Bapa mereka menolak tong ikan itu secara perlahan-lahan sejauh kira-kira 50 meter," katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

Mangsa banjir, Rubiah Fakir Khan dan ahli keluarga ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya, hari ini. - Foto AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Mangsa banjir, Rubiah Fakir Khan dan ahli keluarga ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang, Bestari Jaya, hari ini. - Foto AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Rubiah berkata, dia terlebih dahulu berpindah ke PPS itu tiga jam lebih awal, berikutan paras air di pekarangan rumahnya mencecah kira-kira 1.5 meter.

"Saya nekad mengharung air walaupun bimbang akan keselamatan diri. Beberapa dokumen penting terpaksa ditinggalkan dalam rumah kerana yang lebih utama adalah keselamatan kami sekeluarga," katanya.

Seorang lagi warga emas, Aminah Pakir Khan, 71, pula memaklumkan, kawasan pekarangan rumahnya mula dinaiki air sejak kelmarin.

Beliau berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila air mula melimpah memasuki perkarangan rumahnya, mulai pagi semalam.

"Dalam tahun ini sahaja, dua kali banjir di kampung ini. Kami mohon pihak berkuasa ambil perhatian dan tindakan segera untuk mengatasi masalah ini," katanya.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, jumlah mangsa banjir di kampung itu meningkat kepada 90 mangsa membabitkan 27 keluarga, sehingga jam 3 petang tadi.

Beliau berkata, penambahan mangsa disebabkan berlaku limpahan air di beberapa kawasan selain segelintir penduduk enggan berpindah dan mengambil keputusan untuk menunggu air sehingga surut.

BH/-

Tiada ulasan: