20 September 2021

MSU beri vaksin kepada 45,000 pelajar

SHAH ALAM: Management and Science University (MSU) memberi vaksin kepada 45,000 pelajar sekolah menengah di daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana, secara berperingkat mulai hari ini.

Presiden MSU dan Pusat Perubatan MSU (MSUMC), Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid, berkata, pemberian vaksin kepada pelajar sekolah itu adalah kesinambungan pemberian vaksin melalui inisiatif komprehensif Partnership for COVID Elimination (PaCE) dan Pusat Perubatan MSU (MSUMC) sebelum ini.

"Sekarang ini, kita membantu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di bawah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi pemberian vaksin kepada pelajar di Petaling Perdana dan Petaling Utama.

"Hari ini, kita beri vaksin jenis Pfizer kepada pelajar berusia 16 tahun dan 17 tahun di kawasan Petaling Utama.

"Kita menyasarkan lebih 2,500 pelajar terbabit dalam sehari. Insya-Allah, dalam tempoh enam minggu boleh selesai semua bergantung pada kesediaan sekolah dan juga PKD untuk melaksanakan program ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau suasana di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Canselor MSU, Seksyen 13, di sini.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Anismah M Noh.

Mohd Shukri berkata, berdasarkan tinjauannya, ibu bapa dan pelajar menyambut baik usaha memberi vaksin kepada remaja.

Beliau berkata, pihaknya memperuntukkan masa yang panjang memberi penjelasan kepada ibu bapa pelajar mengenai kepentingan vaksin.

Tinjauan BH mendapati, ratusan pelajar hadir ke PPV itu seawal jam 8.30 pagi untuk menerima suntikan.

Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Permata, Amirul Hanif Tenang Haffis, 17, bersyukur kerana proses suntikan vaksin berjalan lancar.

"Vaksin ini pencegahan untuk saya masuk sekolah. Saya tak sabar nak ke sekolah..lama sangat tak pergi sekolah, kali terakhir, sebelum puasa tempoh hari.

"Mula-mula tadi gementar tetapi selepas divaksin Alhamdulillah lega, suntikan kedua saya pada 11 Oktober nanti," katanya yang ditemani ibu, Suria Baharin, 38 tahun.

Batrisyia Mohd Zaidee,17, yang juga pelajar SMK Sri Permata, bersyukur menerima suntikan vaksin.

"Vaksin ini demi kebaikan saya untuk masuk sekolah semula. Ia adalah untuk melindungi kita daripada dijangkiti COVID-19," katanya yang ditemani bapa, Mohd Zaidee Mohd Razali, 45 tahun.

BH/-

Tiada ulasan: