29 September 2021

Individu lengkap vaksin dibenar ke stadium

 Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beberapa kelonggaran kepada individu yang lengkap divaksin termasuk membenarkan kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 berkuatkuasa Jumaat ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik berkata, kelonggaran itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini.

"Lebih banyak kelonggaran diberikan kepada negeri Fasa 2, 3 dan 4 dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) termasuk membabitkan kebenaran majlis rasmi kerajaan, swasta.

"Selain itu, turut dibenarkan ialah pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri dan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan serta rekreasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri berkata, kehadiran penonton dan penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3, dan Fasa 4 membabitkan sebelum, semasa dan selepas acara sukan serta rekreasi dengan syarat, penonton atau penyokong sudah lengkap divaksin.

"Selain itu, penonton juga perlu memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium.

"Kanak-kanak bawah umur 18 tahun tidak dibenarkan untuk menonton perlawanan di tempat acara sukan berlangsung," katanya.

Katanya, maklumat lanjut mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi kelonggaran baharu ini, boleh dilayari di laman sesawang rasmi kementerian terbabit serta di laman rasmi www.mkn.gov.my.

Sementara itu, Ismail Sabril berkata, penganjuran majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel, dibenarkan di negeri Fasa 2 dan Fasa 3, dengan syarat tetamu menerima vaksinasi lengkap dan kapasiti 50 peratus ruang premis, manakala 100 peratus kapasiti penuh bagi negeri Fasa 4.

"Bagi individu yang belum divaksin, mereka perlu menjalani ujian menggunakan kit ujian kendiri air liur sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan," katanya.

Mengenai pembukaan sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan sebagainya, beliau berkata, ia dibenarkan dibuka di semua fasa dengan syarat mematuhi prosedur SOP selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT) pada 15 Oktober ini.

bharian.




Tiada ulasan: