05 September 2021

Isu maahad tahfiz swasta dibincang dengan Perdana Menteri

 Ahmad Marzuk (kiri) beramah mesra dengan penerima vaksin dalam Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Ahmad Marzuk (kiri) beramah mesra dengan penerima vaksin dalam Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini, hari ini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

KOTA BHARU: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri bagi berbincang dan menyelesaikan isu maahad tahfiz swasta yang terpaksa menutup operasi akibat pandemik COVID-19.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata beliau bersama menterinya, Idris Ahmad akan berjumpa dengan Datuk Seri Ismail Sabri pada minggu hadapan untuk membincangkan isu itu.

Beliau berkata, pihaknya minggu lalu sudah mengadakan pertemuan dan perbincangan dalam usaha mengatasi isu maahad tahfiz dan sekolah agama swasta kerana pengurusan institusi itu hanya bergantung kepada yuran pelajar.

"Bila tidak sekolah dan tidak buka (operasi), sudah pasti (pendapatan) mereka terjejas. Insya-Allah dalam tempoh terdekat ini kita akan beri bantuan.

"Sepanjang tahun ini juga kita sudah memperuntukkan RM60 juta, khususnya kepada maahad tahfiz dan sekolah pondok, namun angka itu belum mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

"Sepanjang tahun ini juga kita sudah memperuntukkan RM60 juta, khususnya kepada maahad tahfiz dan sekolah pondok, namun angka itu belum mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, untuk mendapatkan bantuan itu pihaknya menyeru semua maahad tahfiz, sekolah pondok dan sekolah agama swasta berdaftar dengan majlis agama negeri masing-masing.

"Mereka (pengurusan maahad tahfiz) perlu pastikan pendaftaran dibuat dan kriteria juga perlu mencukupi untuk mendirikan (maahad tahfiz) serta beroperasi.

"Kalau cukup kriteria, mereka layak untuk daftar dan lagi mudah untuk kerajaan beri bantuan. Pihak yang tidak berdaftar ini akan menyulitkan untuk menerima bantuan," katanya.

Ahmad Marzuk juga menjangkakan selepas 3 Oktober ini maahad tahfiz akan dibenarkan beroperasi dan ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pihak berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran) mendapati 64.7 peratus maahad tahfiz di Malaysia, perlu menutup operasi mereka atas arahan kerajaan.

Presiden Permata Al- Quran, Manolito Mohd Dahlan, dilaporkan berkata ia berdasarkan kajian pihaknya terhadap 512 maahad tahfiz di negara ini.

"Kajian turut mendapati 11.7 peratus maahad tahfiz perlu memberhentikan semua kakitangan, mampu bayar separuh gaji (52 peratus) dan boleh bertahan tidak lebih tiga bulan (34.4 peratus).

"Selain itu, tidak menerima bantuan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (38.1 peratus) dan menerima yuran separuh atau kurang kerana ibu bapa tidak berkemampuan (85.4 peratus)," katanya.

Katanya, secara keseluruhan ketika ini terdapat sebanyak 1,198 maahad tahfiz persendirian yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau JAKIM dengan 84,643 murid dan 10,357 guru. BH/-

Tiada ulasan: