05 September 2021

Mitos kabinet terlampau besar



AB JALIL BACKER
SEP 05, 2021 8:00 AM

SEJAK seminggu lalu cemuhan bahawa kabinet negara terlampau besar kembali berlegar dalam sentimen politik media sosial. Ini menimbulkan api kebencian, iri hati dan marah sebahagian rakyat kepada kerajaan dan para menteri.

Menurut gerakan jahat ini, jumlah anggota kabinet negara sebanyak 69 anggota kabinet antara yang terbesar di dunia. Tidak cukup itu, infografik yang dibuat membandingkan jumlah anggota kabinet negara berbanding populasi penduduk dengan beberapa negara lain.

Dalam infografik tersebut mereka meletakkan Malaysia dengan 32 juta penduduk mempunyai 69 anggota kabinet adalah tebesar. Perbandingan dibuat dengan China hanya 35 anggota kabinet (1.3 bilion penduduk), Jepun 14 (126.3 juta penduduk), Jerman 14 (83 juta penduduk), USA 15 (331 juta penduduk), Australia 30 (25 juta penduduk) dan India 49 (270 juta penduduk).

Pertama, adalah tidak munasabah menggunakan nisbah jumlah anggota kabinet dan dengan jumlah penduduk seperti mana kita mengukur nisbah doktor kepada populasi. Ini kerana kementerian tidak dibentuk untuk menguruskan manusia atau rakyat.

Tanggungjawab menteri dan kementerian adalah untuk merangka, menggubal dan melaksanakan polisi dalam bidang-bidang yang difikirkan perlu oleh sesebuah negara. Justeru keperluan kementerian berdasarkan keperluan perkembangan sosio ekonomi negara.

Negara yang mempunyai 300 juta orang atau 30 juta orang boleh mempunyai jumlah menteri dan kementerian yang sama kerana fokus mereka kepada polisi bukan pengurusan manusia.

Contoh negara seperti Singapura tidak memerlukan kementerian berkaitan pertanian, sumber asli, aiar dan pembangunan luar bandar kerana ia tidak relevan dengan negara tersebut.

Namun negara yang dianggap mempunyai pengurusan cekap itu masih mempunyai 15 kementerian dan 19 orang menteri dengan populasi hanya lima juta orang. Setiap kementerian tersebut pula mempunyai seorang atau dua timbalan menteri dan seorang setiausaha parlimen.

Kedua, dakwaan Malaysia mempunyai 69 anggota kabinet adalah tidak tepat. Malaysia hanya mempunyai 31 orang anggota kabinet, 32 termasuk Perdana Menteri.

Adalah sangat mengecewakan apabila sebahagian media, para pemerhati politik dan tokoh akademik turut terjun dalam bandwagon media sosial ini dan menggunakan angka 69 sebagai tanda aras anggota kabinet.

Fakta perbandingan yang dibuat juga tidak tepat kerana mereka membandingkan keseluruhan jumlah menteri dan timbalan menteri Malaysia dengan jumlah menteri negara-negara lain.

Saya ambil contoh jumlah menteri di India ialah 30 orang dan timbalan menteri (minister state) 49 orang. Jika diambil indikator songsang ini, jumlah anggota kabinet India ialah 79 orang.

Manakala Australia dengan populasi 25 juta orang mempunyai 38 kementerian dan 30 orang anggota kabinet. Ini tidak termasuk timbalan mereka. Sementara Jepun mempunyai 20 orang menteri, 25 orang timbalan menteri (dikenali sebagai state minister) dan 27 naib menteri (vice minister).

Keliru

Membandingkan Malaysia dengan Jerman dan Amerika Syarikat juga hanya mengelirukan masyarakat. Ini kerana kita mempunyai sistem pentadbiran yang berlainan sama sekali dengan negara-negara tersebut.

Misalnya, walaupun Jerman mempunyai 14 angota kabinet atau menteri, namun 16 wilayah yang membentuk Persekutuan Jerman mempunyai kuasa pentadbiran yang sangat besar. Setiap wilayah mempunyai berbelas orang menteri pula.

Demikian juga Amerika Syarikat yang mempunyai 50 buah negeri dan setiap satu negeri mempunyai kuasa yang luas termasuk mempunyai polis dan sistem perundangan sendiri.

Justeru walaupun mereka mempunyai kabinet persekutuan yang lebih kecil, namun kabinet setiap negeri dan wilayah sama besar dengan Persekutuan.

Mitos negara mempunyai anggota kabinet terlalu besar bukan isu baharu. Isu ini berulang-ulang sejak parti politik mengenali media sosial dan mempunyai laskar-laskar maya (cybertroopers). Isu ini telah berbangkit pada pentadbiran Perdana Menteri kelima, keenam, ketujuh dan kelapan.

Menggembar-gembur isu dan manipulasi fakta di media sosial adalah kelaziman bagi memburukkan kerajaan dan Perdana Menteri negara kita. Dalam konteks ini, Perdana Menteri kesembilan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak terkecuali dari ancaman pemesongan seperti ini.

Tampaknya propaganda politik media sosial sentiasa akan mendedahkan rakyat dengan manipulasi data dan maklumat bagi meniup api kemarahan dan kebencian.

* Ab Jalil Becker ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (AKAR)

Tiada ulasan: