26 September 2021

Kekurangan kakitangan, logistik jejas proses vaksinasi Indonesia

 Seorang petugas sedang menyuntik vaksin COVID-19 kepada penduduk di Banda, Acheh. - Foto AFP

Seorang petugas sedang menyuntik vaksin COVID-19 kepada penduduk di Banda, Acheh. - Foto AFP

JAKARTA: Kekurangan pekerja penjagaan kesihatan dan logistik menyebabkan usaha Indonesia untuk memvaksinasi rakyatnya terhalang.

Menurut Bloomberg Vaccine Tracker, hanya 17.9 peratus dari 270 juta penduduk Indonesia sudah lengkap vaksinasi, manakala 32 peratus pula sudah menerima dos pertama mereka.

Ahli epidemiologi Universiti Griffith, Dicky Budiman, berkata bekalan di peringkat nasional tidak lagi menjadi masalah dan kini fokus terarah kepada rakyat pula.

"Bahkan di Jawa Timur, ia mempunyai stok yang mencukupi, tetapi tidak ada ruang vaksinasi yang cukup dan tidak cukup petugas di lokasi untuk memberi suntikan," katanya.

Program vaksinasi yang perlahan boleh mendatangkan risiko kepada usaha Indonesia untuk mengawal pandemik dan mempertahankan pemulihan ekonominya yang bernilai AS$1.1 trilion (RM4.067 trilion).

Gelombang varian Delta yang lebih menular memaksa kerajaan untuk mengetatkan kembali sekatan dan ia berjaya membantu menurunkan jumlah kematian mingguan ke tahap terendah sejak pertengahan April lalu.

Kementerian Maklumat memaklumkan, Indonesia perlahan-lahan membangunkan stok vaksin COVID-19 selepas permulaan yang tidak stabil awal tahun ini dan hingga kini telah menerima 273.6 juta dos.

Kerajaan menyasarkan untuk menyuntik 208 juta orang di seluruh negara.

Sementara itu, jurucakap pasukan petugas COVID-19, Wiku Adisasmito, berkata pentadbiran kini menubuhkan lebih banyak pusat vaksinasi dengan bantuan polis, tentera dan anggota perisikan bagi mendidik mereka yang masih ragu-ragu dan meningkatkan pengesanan data melalui aplikasi.

Ia menyasarkan untuk vaksinasi lebih dari 1 juta suntikan sehari dan kerajaan menjangkakan sebanyak 70 peratus vaksinasi akan berjaya dicapai sebelum akhir tahun ini. - AGENSI

Tiada ulasan: