27 September 2021

83.7 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi

 Sebanyak 83.7 peratus populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi setakat semalam. - Foto BERNAMA

Sebanyak 83.7 peratus populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi setakat semalam. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 19,604,699 individu atau 83.7 peratus daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 93.7 peratus atau 21,944,808 individu daripada populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Selain itu, seramai 28,982 atau 0.9 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 269,465 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam membabitkan 117,196 dos pertama dan 152,269 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 41,457,628 menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

PICK dilancarkan pada 24 Februari lalu bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik COVID-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 278 kes kematian akibat COVID-19 dicatatkan setakat jam 11.59 malam tadi, menjadikan jumlah kumulatif kematian kini adalah 25,437.

Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar COVID-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam, manakala selebihnya kes kematian tertunggak atau 'backlog'.

Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 90 kematian sebenar akibat COVID-19 dicatatkan.

Sebanyak 99 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID). - BERNAMA

Tiada ulasan: