27 September 2021

Pegangan ekuiti Bumiputera cuma 17.2 peratus

 

Ismail Sabri.

PETALING JAYA – Status pemilikan ekuiti korporat Bumiputera masih belum mencapai sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus dan setakat ini hanya mewakili 17.2 peratus berasaskan nilai pasaran bagi tahun 2019.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pegangan bukan Bumiputera setakat ini meliputi 25.0 peratus, pegangan asing (45.5 peratus) dan nomini atau gabungan sejumlah 12.3 peratus.

Beliau berkata, sehubungan itu, kerangka jaringan keselamatan ekuiti akan diperkenalkan supaya penjualan saham atau syarikat Bumiputera hanya ditawarkan dan dijual kepada konsortium, syarikat atau individu Bumiputera lain bagi memastikan pemilikan ekuiti Bumiputera yang mampan.

“Pegangan dan pelupusan pemilikan oleh syarikat Bumiputera akan dikawal selia oleh kementerian dan agensi berkaitan selaku pengawal selia sektor.

“Dalam usaha menyelaras semua inisiatif ini, Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi yang lebih jelas akan diwujudkan semula melalui penugasan semula pegawai di setiap kementerian dan agensi kerajaan,” katanya semasa membentangkan usul RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, satu rangka kerja tindakan pembangunan Bumiputera akan diumumkan pada penghujung tahun ini yang akan turut memperincikan beberapa inisiatif utama dalam merealisasikan aspirasi bagi meningkatkan status sosioekonomi Bumiputera. – K! ONLINE

Tiada ulasan: