27 September 2021

Kaedah fertigasi, teknologi bantu usahawan tani jadi jutawan

 

AHMAD Hamzah ketika merasmikan Webinar Fertigasi secara atas talian di Putrajaya hari ini. – Gambar ihsan Jabatan Pertanian.

PUTRAJAYA: Jabatan Pertanian terus mempromosikan kemajuan teknologi baharu kepada rakyat khususnya usahawan tani melalui pelbagai sesi webinar bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil tanaman makanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ia antara usaha jabatan itu yang antara lain mengembangkan kaedah penanaman secara fertigasi yang ketika ini menjadi pilihan utama kerana penggunaan input pertanian efisien dan mesra alam sekitar.

“Pengurusan tanaman juga lebih mudah walaupun kos awalan pembangunannya jauh tinggi berbanding sistem konvensional selain kaedah ini memiliki banyak kelebihan,” kata beliau merasmikan Webinar Fertigasi secara maya di sini hari ini.

Program berlangsung selama dua hari itu melibatkan sejumlah 1,100 peserta yang telah mendaftar secara talian dengan sebanyak 10 kertas kerja meliputi pelbagai tajuk dibentang termasuk perkongsian dalam kalangan pegawai, penyelidik dan pengusaha fertigasi yang berjaya serta turut disiarkan secara langsung melalui saluran khas YouTube TV Pertanian.

Ahmad berkata, sistem fertigasi lebih lestari selain sudah digunakan secara meluas dalam pengeluaran tanaman makanan utama negeri seperti cili, tomato, salad, melon dan halia.

Penggunaan fertigasi jelasnya, juga sejajar Revolusi Industri (IR) 4.0 apabila sistem itu boleh diintegrasikan dengan teknologi internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan  automasi dan robotik yang aman sistem fertigasi secara pintar membolehkan aspek pengurusan dan pemantauan ladang dapat dilaksanakan lebih cekap tanpa berlaku pembaziran.

“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan turut ambil kira aplikasi IR 4.0 dalam program pembangunan pertanian yang dicadang untuk dilaksanakan sehingga 2025 memandangkan sektor pertanian kini berdepan pelbagai cabaran bagi melonjak pengeluaran dengan sumber tanah terhad dan perubahan iklim dunia tidak stabil,” katanya.

Justeru, pembangunan aplikasi teknologi moden dapat menjamin kelangsungan pertanian negara serta menarik pengusaha tidak kira umur dan taraf pendidikan menceburi bidang itu kerana sektor pertanian jika diuruskan baik mampu memberikan prospek kejayaan dan pendapatan lumayan.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: