28 September 2021

Pindahan dana hanya di hujung jari

 Fasa pertama jalinan DuitNow-PayNow dijangka bermula pada suku keempat tahun 2022.

Fasa pertama jalinan DuitNow-PayNow dijangka bermula pada suku keempat tahun 2022.

Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Monetary Authority of Singapore (MAS) mengumumkan rancangan untuk mula menghubungkan sistem pembayaran runcit masa nyata DuitNow di Malaysia dan PayNow di Singapura secara berfasa.

Fasa pertama jalinan DuitNow-PayNow dijangka bermula pada suku keempat tahun 2022 yang akan membolehkan pelanggan perkhidmatan institusi kewangan peserta membuat pindahan dana secara masa nyata antara kedua-dua negara dengan hanya merujuk nombor telefon mudah alih penerima.

Pelanggan juga boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR DuitNow atau NETS yang dipaparkan di hadapan premis perniagaan.

Projek ini akan membolehkan proses pembayaran dibuat dengan lebih lancar antara Malaysia dengan Singapura terutama bagi tujuan pengiriman wang yang merekodkan jumlah yang besar sebanyak RM4.2 bilion pada tahun 2020.

Jalinan ini juga akan memenuhi keperluan pelawat dari kedua-dua negara yang mencatatkan jumlah ketibaan yang besar iaitu secara purata kira-kira 12 juta setahun sebelum pandemik bermula.

Susulan pelancaran ini, BNM dan MAS akan memperluas jalinan DuitNow-PayNow secara berperingkat dengan menambah lebih banyak fungsi pembayaran dan institusi kewangan peserta.

BNM dan MAS juga akan mengkaji kemungkinan untuk menggabungkan ciri-ciri inovatif seperti penyelesaian berasaskan teknologi lejar teragih (distributed ledger technology) untuk memangkin kecekapan penyelesaian dan penjelasan pembayaran antara bank peserta.

Jalinan DuitNow-PayNow adalah satu lagi pencapaian penting dalam sejarah hubungan erat antara Malaysia dan Singapura sejajar usaha G20 untuk memacu pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, inklusif dan telus.

Inisiatif ini juga adalah satu langkah konkrit ke arah mencapai rangkaian jalinan sistem pembayaran masa nyata dalam kalangan negara Asean.

Penolong Gabenor BNM, Fraziali Ismail berkata, jalinan DuitNow-PayNow akan menjadi pengubah penting untuk menggalakkan perkhidmatan pembayaran lebih pantas, murah dan mudah diakses.

"Inisiatif ini bukan sahaja dapat mengukuhkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Singapura tetapi juga berfungsi sebagai pendorong utama yang menyokong pertumbuhan ekonomi selepas pandemik," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai FinTech MAS, Sopnendu Mohanty berkata, bagi Singapura, koridor pengiriman wang dengan Malaysia adalah koridor pengiriman wang terbesar pihaknya.

"Oleh itu, jalinan PayNow-DuitNow akan menjadi infrastruktur penting untuk menyokong keperluan pembayaran rentas

sempadan bagi individu dan perniagaan, serta kegiatan ekonomi digital yang semakin meningkat antara kedua-dua negara. "Inisiatif ini akan mengeratkan lagi hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia," katanya.

hmetro/-

Tiada ulasan: