HARGA gaharu yang mahal mampu mencecah ribuan ringgit membuatkan ramai menanam pokok karas bagi mendapatkan bahannya.
Hakikatnya, pokok ini di dalam hutan adalah dinilaikan di ambang kepupusan berikutan ada aktiviti pencerobohan secara haram bagi mendapatkan gaharu liar untuk pelbagai kegunaan.
Ketua Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, Prof Madya Dr Mohamad Azani Alias, berkata permintaan gaharu liar semakin meningkat menyebabkan ramai masih mencuri masuk ke hutan untuk mendapatkannya secara haram.
Katanya, ini kerana gaharu liar lebih bermutu tinggi kerana ia dihasilkan secara semula jadi.
Katanya, perbezaan ketara gaharu semula jadi dengan gaharu ladang adalah aromanya yang lebih wangi berikutan sudah berada lama di dalam pokok karas.
"Justeru, pokok karas liar di dalam hutan, mampu menghasilkan gaharu yang lebih berkualiti dan bernilai tinggi," katanya.
Gaharu pelbagai bentuk jaluran warna khas dan memiliki kandungan damar wangian berupa aloe-resin mengeluarkan aroma khusus apabila dibakar. Bagi gred AAA ada yang mencecah hingga RM100,000
Lantas ia digunakan sejak turun-temurun, selain digunakan untuk upacara keagamaan, perubatan tradisional dan bahan asas pembuatan minyak wangi.
Hasil tindak balas kimia dalam kayu akan menghasilkan resin atau damar wangi dinamakan gaharu dan apabila dibakar akan mengeluarkan aroma tersendiri.
Industri itu mampu memberikan hasil pertumbuhan baru yang mempunyai potensi untuk pulangan ekonomik memberangsangkan.
Katanya, permintaan produk ini sentiasa meningkat terutama dari negara Asia Barat yang menyebabkan bekalan produk berasaskan gaharu dari hutan asli tidak mencukupi.
Dari setahun ke setahun, industri ini berkembang pesat dengan pertambahan peladang karas di Malaysia.
Sehingga Ogos 2021, sebanyak 238 syarikat atau individu berdaftar dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan keluasan sebanyak 2,529 hektar dan 2.35 juta pokok Karas ditanam.
Peraturan Convention on International Trade of Endangered Species of Wild Flora and Fauna (CITES) menetapkan kuota eksport produk gaharu sebanyak 150,000 kilogram (kg) bagi tahun ini.
Berdasarkan statistik eksport 2019, nilai eksport bagi produk karas dan gaharu sebanyak RM8.8 juta manakala 2020 hanya RM1.85 juta, iaitu penurunan 79 peratus.
Faktor penurunan mendadak
Antara faktor kejatuhannya disebabkan kekurangan sumber bekalan bahan mentah gaharu daripada sumber hutan asli.
Tahun lalu, eksport gaharu turun mendadak disebabkan pandemik COVID-19 di seluruh dunia mempengaruhi keseluruhan rantaian perdagangan produk berasaskan gaharu.
Oleh itu, adalah amat wajar dan bertepatan sekali webinar ini dilaksanakan supaya industri gaharu dapat mengorak langkah bagi mengukuhkan pasaran dalam negara atau luar negara dengan menyokong pengeluaran hasilnya.
Potensi gaharu
Permintaan pasaran yang masih tinggi dapat dilihat melalui trend penjualan gaharu yang berubah dari negara Asia Barat, kini menjangkau ke Asia Timur seperti Taiwan, Jepun dan China.
Memandangkan potensi gaharu yang besar ini, kerajaan menggalakkan penanaman pokok karas secara perladangan.
Bagi menyokong usaha perladangan karas di Malaysia, MTIB mengorak langkah bagi memastikan perkembangan industri ini sejajar dengan permintaan pasaran.
Usaha itu direalisasikan melalui pelancaran Pelan Tindakan Industri Perladangan Karas dan Gaharu Malaysia 2011 hingga 2021 yang menjadi penunjuk aras tahap kemajuan dan sasaran projek dirangka bagi membantu pertumbuhan industri ini.
Pelan Tindakan Pembangunan Industri Karas dan Gaharu
Bagi memastikan kemajuan industri Karas dan gaharu ini, MTIB melancarkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Karas dan Gaharu Malaysia (2011 hingga 2021) pada Mac 2011.
Pelan tindakan ini menekankan kepada lima aspek utama pembangunan, iaitu;
• Pembangunan Ladang Karas
• Pembangunan Modal Insan
• Aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan
• Pembangunan Produk dan Aktiviti Hiliran
• Promosi dan Perdagangan
Setiap teras strategi dirangka membabitkan beberapa perancangan aktiviti ke arah menjadikan Malaysia sebagai hub perdagangan Gaharu di dunia.
Penanaman karas dan hasilkan gaharu
Terdapat beberapa faktor harus dipertimbangkan dalam aktiviti penanaman pokok karas secara perladangan seperti pemilihan anak benih, jarak tanaman, kaedah tanaman, kaedah suntikan dan pasaran.
Ia harus dinilai untuk meminimumkan risiko yang ada dan mendapat hasil yang maksimum selepas tujuh tahun pelaburan.
Dari segi pemilihan anak benih sering menjadi persoalan. Ada yang mengatakan spesies A lebih baik dari spesies B dan ada yang sebaliknya kerana ia lebih cepat membesar dan lebih mahal.
"Seharusnya kita meneliti semula beberapa kajian, pokok karas sebenarnya mempunyai kaedah berbeza dengan pokok lain.
"Pokok yang sihat dan membesar dengan cepat menghasilkan resin gaharu yang sedikit kuantitinya berbanding pokok yang sakit dan diganggu.
"Ia sebenarnya selari dengan kejadian semula jadi gaharu di dalam hutan, iaitu pokok yang berada di kawasan berbatu dan mengalami tindak balas kecederaan yang teruk menghasilkan gaharu yang lebih bermutu.
"Kita juga harus melihat kepada permintaan pasaran, spesies manakah yang menjadi pilihan pembeli dan mempunyai harga yang tinggi," katanya.
Mohamad Azani berkata, spesies Aquilaria malaccensis adalah salah satu spesies yang mempunyai nilai komersial yang tinggi.
Dari segi kaedah penanaman, jarak penanaman 2 meter (m) x 2m atau 3 m x 3m boleh menghasilkan jumlah tanaman sebanyak 2,500 pokok atau 1,111 pokok sehektar.
Penanaman secara intergrasi adalah lebih meminimumkan risiko, malahan memberi pulangan jangka pendek yang boleh menampung kos keseluruhan.
Sulaman boleh dilakukan dengan tanaman herba dan tanaman kontang. Penjarakan yang sesuai harus dilihat.
Selepas pokok karas mencapai usia lima tahun, suntikan inokulasi perlu dilakukan untuk merangsang penghasilan gaharu dan dibiarkan selama dua tahun sebelum mendapat hasil.
Mohamad Azani menegaskan perlu diingatkan, tanpa proses ini pokok karas tidak akan membentuk gaharu di dalamnya.
Berbeza dengan proses kejadian secara semula jadi, gaharu terbentuk pada usia pokok 20 hingga 40 tahun melalui gangguan secara fizikal atau mikrorganisma.
Namun, beliau menegaskan walaupun pengeluaran gaharu secara semula jadi di hutan semakin berkurangan, namun potensi industri gaharu di Malaysia amat besar.
"Ini kerana pengeluaran hasil gaharu secara perladangan yang semakin berkembang ketika ini akan berjaya dalam sedikit masa lagi," katanya.
bharian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan