TUMPAT – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 6.3 tan beras Siam yang dijual oleh peniaga-peniaga di sekitar Pasar Wakaf Bharu di sini semalam.
Rampasan beras bernilai RM25,380 yang dijalankan menerusi Op Khas bermula pukul 6.30 pagi hingga 8 pagi itu turut menahan sembilan peniaga bagi membantu siasatan berkait dengan perkara tersebut.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA, Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua individu yang ditangkap berusia 43 hingga 69 tahun itu merupakan peniaga yang menjual beras tersebut di pasar berkenaan.
Menurutnya, hasil maklumat risikan dan pemerhatian mendapati, kesemua stok bekalan beras Siam itu dihantar oleh penghantar atau ‘runner’ yang diupah untuk mengangkut beras seludup dari sempadan negara kepada peniaga-peniaga tersebut.
“Siasatan awal mendapati ‘runner’ beras meraih upah sebanyak RM20 hingga RM30 bagi setiap perjalanan penghantaran bekalan beras ke lokasi yang dituju.
“Selain itu, mereka juga menggunakan kereta dan motosikal untuk mengangkut beras dalam kuantiti yang sedikit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan