28 September 2021

AirAsia X berdepan masalah kewangan serius

 AirAsia X Bhd

AirAsia X Bhd

KUALA LUMPUR: AirAsia X Bhd (AirAsia X) terus berdepan masalah kecairan serius dengan semua harapan untuk pulih semula terletak kepada beberapa faktor, termasuk kejayaan penyusunan semula hutangnya.

Public Investment Bank dalam nota penyelidikan berkata, 'jalan keluar' AirAsia X kini tertumpu kepada pelaksanaan pendanaan ekuiti baharu daripada pelabur sedia ada dan baharu untuk menyediakan modal mencukupi bagi membolehkannya memulakan semula operasi selepas sempadan antarabangsa dibuka.

"Walaupun pemegang saham bersetuju dengan semua cadangan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) 1 Jun lalu, pelaksanaan langkah meningkatkan dana hanya akan dilaksanakan selepas cadangan penstrukturan semula hutang berjaya.

"Rundingan terakhir dengan peminjam dan pemiutang masih berjalan dan AirAsia X berharap dapat mengadakan perbincangan bersama pemiutang menjelang 21 Oktober ini," katanya.

AirAsia X mencatatkan kerugian bersih RM24.63 bilion bagi suku tahun 1 April hingga 30 Jun 2021 berikutan peruntukan jumlah yang perlu dibayar kepada pemiutang.

Syarikat penerbangan jarak jauh AirAsia itu sedang dalam proses menstruktur semula hutangnya sebanyak RM23.7 bilion, jumlah yang perlu dibayar kepada pemiutang iaitu hutang tertunggak di bawah terma kontrak.

AirAsia X menerima tempoh lanjutan sehingga Mac tahun depan bagi menahan perintah 15 pemiutangnya terhadap penyusunan semula dan mengadakan perbincangan.

Perintah itu perlu dilaporkan semula kepada Mahkamah Tinggi berkaitan kemajuannya pada pertengahan Disember ini.

Tanpa peruntukan kepada pemiutang, AirAsia X meraih kerugian sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (LBITDA) berjumlah RM58.16 juta, manakala pendapatannya pula berjumlah RM72.26 juta.

Public Investment Bank berkata, AirAsia X merekodkan pendapatan 88 peratus lebih tinggi suku ke suku berjumlah RM72.2 juta bagi tempoh enam suku tahun kewangan berakhir 2021 berbanding RM38.4 juta lima suku tahun berakhir 2021.

"Pendapatan yang lebih tinggi disebabkan oleh sumbangan yang lebih baik, sebanyak RM40.7 juta daripada perkhidmatan pengangkutan dan kargo, berbanding RM13.2 juta pada suku sebelumnya.

"Walaupun ia dijangka dapat membantu memberi sumbangan berterusan, operasi penerbangan masih tergendala susulan sekatan perjalanan udara dan sempadan antarabangsa akan memberi kesan besar," katanya.

bharian/-

Tiada ulasan: