27 September 2021

'Terus perkasa agenda Bumiputera'

  Gambar hiasan

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan agenda Bumiputera akan terus diperkasa dan tidak akan diabaikan.

Perdana Menteri berkata, jaminan itu sebagai mana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak dan keistimewaan orang Melayu serta anak negeri iaitu pribumi Sabah dan Sarawak serta kepentingan kaum lain.

Beliau berkata, kerajaan sedar sebilangan besar Bumiputera masih lagi berpendapatan rendah dan miskin berbanding etnik lain termasuk jurang pendapatan penengah antara kaum Cina juga didapati semakin melebar iaitu empat kali ganda pada 2019 berbanding 1989.

Bagaimanapun, katanya, kaum lain yang menjadi komponen Keluarga Malaysia turut diberi perhatian menerusi pembelaan dan bimbingan diperlukan.

"Keluarga Malaysia merangkumi Bumiputera, Orang Asli dan anak negeri Sabah yang mempunyai 42 etnik serta lebih 200 sub-etnik, antaranya suku kaum Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, dan Bajau, manakala Bumiputera Sarawak juga mempunyai 27 etnik antaranya kaum Iban, Orang Ulu, Melanau dan Bidayuh, selain kaum Cina, India dan lain-lain.

"Ahli keluarga ini yang berpendapatan rendah dan kumpulan khusus serta golongan mudah terjejas tanpa mengira kaum, memerlukan pembelaan dan bimbingan, akan diberi perhatian.

"Hasrat kerajaan untuk mencapai pembangunan sosioekonomi yang lebih adil, saksama dan inklusif, selaras semangat Keluarga Malaysia," katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Parlimen, pagi tadi. BH/-

Tiada ulasan: