10 September 2021

Tubuh kompleks bagi pendidikan hujung usia, bekalan akhirat

 HASAN, gambar fail. FOTO NSTP

HASAN, gambar fail. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Sabha (Yayasan Sabha) mengalu-alukan orang ramai untuk menderma dalam projek pembangunan Kompleks Anjung Husnul Khatimah yang dijangka beroperasi pertengahan 2023 di bawah kendaliannya.

Kompleks yang bakal dibina di Bukit Cerakah, Shah Alam, Selangor itu dibangunkan bagi tujuan program untuk mempersiapkan diri menghadapi kematian dalam Husnul Khatimah (pengakhiran yang baik) sebagaimana dianjurkan dalam Islam.

Pengasasnya, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, sejumlah RM1.5 juta daripada RM20 juta jumlah kos keseluruhan sudah berjaya dikumpulkan menerusi Tabung Dana Pembinaan Kompleks sejak ia dibuka dua tahun lalu.

"Kompleks Anjung Husnul Khatimah menawarkan dua jenis program pentarbiyahan bagi dewasa dan remaja. Pertama, program yang mengandungi lima modul yang setiap satunya berdurasi tiga hari dua malam dengan isi kandungan pengisian saling berkaitan antara modul yang lain.

"Kedua, empat modul durasi sama ditawarkan kepada remaja berumur 15 tahun ke atas dengan pengisian menjurus kepada pembentukan anak-anak soleh dan solehah yang dapat berkhidmat kepada ibu bapa mereka hingga akhir hayat dengan penuh keikhlasan dan kejujuran," katanya ketika sidang media pengenalan Kompleks Anjung Husnul Khatimah secara dalam talian tadi.

Menurutnya, penubuhan kompleks itu bukan berasaskan keuntungan sebaliknya bersifat amal jariah dan sedekah.

Katanya, pengendalian modul program adalah mengikut lunas profesionalisme dan moden disamping memberi penekanan kepada aspek kualiti bertaraf tiga bintang bagi fasiliti serta penginapan.

"Setakat ini, dana pembangunan, pengurusan dan penyelenggaraan berbentuk sumbangan daripada pelbagai pihak dalam bentuk wakaf, zakat, infaq dan lain-lain yang menepati syariat Islam.

"Oleh itu, saya amat mengalu-alukan syarikat korporat dan badan kerajaan untuk tampil bekerjasama membantu membangunkan kompleks ini," katanya.

Katanya, golongan fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal dapat menjalani program ini secara percuma manakala peserta yang berkemampuan pula perlu membayar yuran pendaftaran seikhlas hati bagi menampung kos pengurusan, makan dan minum sepanjang program.

"Golongan yang kurang berkemampuan akan dikecualikan daripada yuran pendaftaran.

"Pihak Yayasan akan mengusahakan supaya penyertaan mereka dibuat atas dasar tajaan daripada hasil sumbangan," katanya.

Mengulas mengenai perancangan jangka panjang, Dr Hasan berkata, pihaknya berharap projek yang julung kali dibangunkan itu dijangka menjadi mercu tanda syiar Islam selain turut mempunyai cawangan di setiap ibu negeri.

Orang ramai yang berhasrat untuk menderma boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari Facebook Anjung Husnul Khatimah.

hmetro/-

Tiada ulasan: