08 Oktober 2021

Hanya 0.9% lagi sebelum boleh rentas negeri, kata KJ

 

Penguatkuasaan pematuhan SOP sedia ada di restoran, rumah ibadat dan tempat awam akan terus dipergiat menjelang pembukaan sempadan negeri, tegas Khairy Jamaluddin.

PETALING JAYA: Hanya 0.9% sahaja lagi penduduk dewasa perlu mendapatkan vaksin lengkap sebelum sempadan negeri dibuka, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang terus mengingatkan orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Beliau menegaskan penguatkuasaan pematuhan SOP sedia ada di restoran, rumah ibadat dan tempat awam akan terus dipergiat menjelang pembukaan sempadan negeri.

Khairy turut menggalakkan orang ramai supaya melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung halaman atau melancong.

“Tingkatkan penilaian kendiri TRIIS (Ujian, Lapor, Asing, Maklum, Dapatkan) untuk kita sama-sama ke arah pembukaan semula sempadan dengan lebih selamat,” katanya dalam hantaran di Twitter.

Setakat tengah malam tadi, sebanyak 89.1% populasi dewasa sudah lengkap vaksinasi dan berdasarkan data di laman sesawang CovidNow sebanyak 45,204,479 dos vaksin Covid-19 telah diberikan.

Semalam, sebanyak 86,639 dos vaksin telah diberikan, iaitu terdiri daripada 16,870 dos pertama dan 69,769 dos kedua.

FMT/-

Tiada ulasan: