08 Oktober 2021

Islam dan penganutnya terus dizalimi

 

AL-QURAN mendedahkan bahawa kedatangan Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam telah disebutkan dalam kitab-kitab suci agama terdahulu. Ia disebut berulang kali dalam al-Quran, antaranya firman Allah SWT:

﴿الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءَهُمْ وَإِنَّ فَرِيقًا مِنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ١٤٦﴾

“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya), sebagaimana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian antara mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedangkan mereka mengetahui (salahnya perbuatan yang demikian).” (Surah al-Baqarah: 146)


Kedatangan Baginda SAW dan ajaran Islam bukan sahaja dinyatakan dalam kitab suci agama Yahudi dan Nasrani, bahkan dinyatakan juga dalam kitab suci agama Hindu, Buddha, Majusi dan lain-lain agama.

Perkara tersebut dibuktikan oleh para paderi dan sami yang memeluk Islam setelah mereka mengkaji Islam secara ikhlas, termasuklah dalam kalangan mereka yang mengkaji ilmu perbandingan agama. Kedua-duanya menemui bukti tersebut dalam kajian masing-masing.

Namun begitu, Islam tetap membawa konsep tiada paksaan dalam beragama. Sekalipun ketika umat Islam menjadi sebuah kuasa besar dunia dalam tempoh beberapa abad lamanya.

Dalam pada itu, Islam memerintahkan umatnya supaya berdialog dengan hujah yang kuat dan penuh kebijaksanaan kerana Islam itu mesti diterima dengan jujur dan ikhlas. Walaupun dizalimi oleh musuh-musuhnya, umat Islam tetap diperintahkan supaya bersabar bagi menegakkan kebenaran. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿ادْعُ إِلَى سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ وَجَادِلْهُمْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنْ ضَلَّ عَنْ سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ١٢٥ وَإِنْ عَاقَبْتُمْ فَعَاقِبُوا بِمِثْلِ مَا عُوقِبْتُمْ بِهِ وَلَئِنْ صَبَرْتُمْ لَهُوَ خَيْرٌ لِلصَّابِرِينَ١٢٦ وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلَّا بِاللَّهِ وَلَا تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلَا تَكُ فِي ضَيْقٍ مِمَّا يَمْكُرُونَ١٢٧ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ١٢٨﴾

“Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berhujahlah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang tersesat daripada jalan-Nya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk. (125); Dan jika kalian membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kalian membalas dengan kejahatan yang sama sepertimana yang telah ditimpakan ke atas kalian, dan jika kalian bersabar, maka sesungguhnya hal yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bersabar. (126); Dan bersabarlah (wahai Muhammad); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan. (127); Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berbuat kebaikan. (128).” (Surah An-Nahl: 125-128)

Para pemimpin Arab yang menentang Islam sebenarnya mengetahui sifat benar dan akhlak mulia yang terdapat pada diri Rasulullah SAW. Bahkan raja-raja kuasa besar dunia yang bermusuh dengan Islam juga mengetahui akan kebenaran Islam dan betapa adil ajarannya.

Akan tetapi, disebabkan oleh hawa nafsu yang telah menguasai diri, mereka sanggup mempertahankan kedudukan, takhta, pangkat dan harta serta melakukan kezaliman. Akhirnya, rakyat meninggalkan mereka sehingga mengalami kejatuhan satu demi satu.

Semua rakyat yang menerima kedatangan Islam tidak dipaksa masuk Islam, tetapi akhirnya mereka menerima Islam dengan rela hati. Keadaan inilah yang berlaku di seluruh wilayah dunia merentasi Asia Tengah hingga Asia Tenggara (Nusantara), memasuki benua Afrika dan menembusi Selatan Eropah dan Timur.

Sehingga hari ini, Islam berkembang di seluruh dunia tanpa dilindungi oleh mana-mana negara besar dalam menghadapi fitnah yang membawa kepada merebaknya Islamofobia, khususnya apa yang berlaku di negara Barat yang lebih dahsyat daripada negara komunis yang tidak beragama.

Islam berjasa besar apabila berjaya mengislahkan tamadun dunia dengan mengumpulkan semua tamadun ilmu yang bermanfaat daripada semua bangsa dan negara, sama ada Timur mahupun Barat sebelumnya tanpa mengira agama dan bangsa. Prinsip agama dan akhlak Islam yang diletakkan dalam tamadun ilmu itu kemudiannya diterima oleh para ilmuwan bukan Islam yang ditindas sebelumnya.

Maka, lahirlah ‘Hadharah Islamiyyah’ (Tamadun Islam) yang menjadi pencetus ketamadunan Barat pada hari ini, tetapi malangnya ia dipisahkan daripada petunjuk agama dan akhlak yang mulia sehingga membakar diri mereka sendiri. Walau bagaimanapun, Islam tetap menjadi sasaran untuk dipersalahkan.

Ketika berlaku Perang Korea sekitar tahun 50-an yang mengganas dan meningkatnya tekanan Blok Timur terhadap Eropah sehingga diberikan amaran dengan teori domino, seorang diplomat Perancis membuat kenyataan supaya blok Barat menyedari bahawa Islam itu adalah lebih bahaya daripada Komunis.

“Bahawa ada lagi bahaya yang lebih besar daripada ideologi Komunis, iaitu Islam yang masih bernyawa. Pengaruhnya bukan sahaja boleh menakluk tanah air, bahkan masuk ke dalam hati manusia.”

Selepas itu keluarlah kenyataan bertali arus sehingga dimasyhurkan pada hari ini dengan agenda Islamofobia yang memomok-momokkan setiap perkara yang berkaitan dengan Islam atau yang cuba dikaitkan dengannya. Bermula dengan peristiwa 11 September yang tidak nyata buktinya, sehinggalah furdah yang dipakai oleh wanita Islam turut dikaitkan dengan ciri-ciri pengganas.

Kemudian diikuti dengan kenyataan bersifat anti Islam yang bertalu-talu oleh tokoh-tokoh negara dan masyarakat Barat, termasuklah peranan media melalui tayangan filem, penulisan sehinggalah lakaran kartun bagi menghina Islam dan Rasulullah SAW. Mereka menindas penganut Islam, sehingga bertindak mencabul hak kebebasan manusia dan demokrasi yang menjadi kebanggaan mereka selama ini.

Apa yang penting bagi mereka adalah kebebasan dan demokrasi bukanlah untuk Islam dan penganutnya walaupun bermoral tinggi. Sebaliknya ia hanyalah untuk golongan lain walaupun tidak mempunyai moral kemanusiaan sedikit pun.

Kita janganlah buta terhadap sejarah apabila ditafsirkan kedatangan Barat sebagai peneroka dunia baharu. Hakikatnya mereka menakluk dan menjajah, sehingga memperhamba abdi rakyat yang ditawan dengan menjual manusia. Bahkan rakyat di negara yang dijajah dibunuh dan dirompak hasil buminya.

Namun rakyat yang bangkit menentang penjajah khususnya umat Islam yang cuba mempertahankan agama, bangsa dan tanah airnya, dianggap pula sebagai pemberontak, lanun, pengganas dan sebagainya.

Selepas umat Islam tidak menjadi kuasa besar dunia, para penjajah itu membahagikan wilayah Islam seperti membahagi-bahagikan harta pusaka yang ditinggalkan oleh orang yang sudah mati. Hasil bumi menjadi bahan rebutan dalam persaingan ekonomi, manakala rakyatnya pula menjadi mangsa peperangan sesama mereka yang rakus dengan semangat penjajahan masing-masing.           

Islam dan penganutnya terus menjadi sasaran paling utama dibandingkan dengan kalangan manusia yang lain. Islam tetap menjadi sasaran tanpa mengira mazhab dan bangsa. Bahkan mereka menjadikan kepelbagaian dalam Islam sebagai senjata untuk mengadu domba umat Islam dengan bantuan yang diberikan.

Dua gelombang Perang Teluk (Perang Teluk 1 dalam tempoh 1980-1988 dan Perang Teluk 2 dalam tempoh 1990-1991) diikuti dengan Perang Iraq dan juga Perang Afghanistan yang membunuh jutaan manusia, dikaitkan dengan agenda bagi menentang pengganas Islam. Adapun kerakusan mereka yang mengganas bertubi-tubi itu pula dianggap kononnya demi menjaga keselamatan dan keamanan.

Sepatutnya mereka membaca dan mengkaji ajaran Islam, khususnya al-Quran yang telah menetapkan sempadan kepada penganutnya yang sebenar supaya tidak bersikap melampau, sekalipun terhadap musuh yang menceroboh. Hal ini berpandukan firman Allah SWT:

﴿وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ١٩٠﴾

“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kalian, dan janganlah kalian melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Baqarah: 190)

Begitu juga firman Allah SWT:

﴿وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِنْ دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ مَرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُمْ بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ١٠٨﴾

“Dan janganlah kalian memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa sebarang pengetahuan. Demikianlah Kami menjadikan pada tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang dahulu mereka telah kerjakan.” (Surah al-An‘am: 108)

Sepatutnya mereka berterima kasih kepada Islam walaupun tidak mahu menganutinya, bukannya menjadikan Islam sebagai musuh. Allah SWT menegaskan perkara ini kepada umat Islam melalui firman-Nya:

﴿وَدَّ كَثِيرٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يَرُدُّونَكُمْ مِنْ بَعْدِ إِيمَانِكُمْ كُفَّارًا حَسَدًا مِنْ عِنْدِ أَنْفُسِهِمْ مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمُ الْحَقُّ فَاعْفُوا وَاصْفَحُوا حَتَّى يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ إِنَّ اللَّهَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ١٠٩﴾

“Sebahagian besar dalam kalangan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) menginginkan agar mereka dapat mengembalikan kalian menjadi kafir setelah kalian beriman, kerana dengki yang timbul dalam diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kalian (akan mereka), sehinggalah Allah mendatangkan perintah-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Surah al-Baqarah: 109)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 29 Safar 1443 / 7 Oktober 2021 – HARAKAHDAILY 7/10/2021

Tiada ulasan: