08 Oktober 2021

Khairy mahu polis, SKMM ambil tindakan berita palsu vaksin

 

Seorang pengguna Twitter yang didakwa memuat naik berita palsu mengenai vaksin Covid-19 sudah memadamkan catatannya.

PETALING JAYA: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau telah meminta laporan polis dibuat terhadap seorang pengguna Twitter yang dipercayai menyebarkan berita palsu mengenai vaksinasi Covid-19.

Beliau turut mengarahkan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ada masa untuk mendidik dan libat urus. Tetapi, terdapat juga masa untuk menguatkuasakan undang-undang. Hentikan pembohongan,” tulisnya di Twitter.

FMT tidak mendedahkan identiti pengguna Twitter terbabit.

Beberapa tweet pengguna terbabit baru-baru ini yang mengaitkan kematian dengan vaksin sudah dipadamkan.

Terdahulu, seorang lagi pengguna yang merupakan anak kepada lelaki yang meninggal dunia itu menafikan dakwaan bapanya meninggal dunia selepas divaksin.

“Data itu diambil daripada media sosial tanpa kebenaran. Kemudian (pengguna itu) menganggap ayah saya meninggal dunia kerana vaksin. Ia melampau,” katanya sambil menambah bapanya meninggal dunia akibat penyakit arteri koronari.

FMT/-

Tiada ulasan: