05 Oktober 2021

Lelaki terkejut, tupai sorok 158kg walnut dalam hud kereta

 

Bill Fischer, seorang penduduk Fargo di Dakota Utara mendapati seekor tupai merah telah menjadikan hud trak pikapnya sebagai tempat menyimpan 158kg walnut. (Gambar Facebook)

Seorang lelaki terkejut besar selepas mendapati 158 kilogram walnut disorok di bawah hud keretanya.

Ya, ia tidak lain dan tidak bukan adalah kerja sang tupai yang cukup terkenal dengan tabiat menyimpan makanan sebelum tiba musim sejuk.

Bill Fischer, seorang penduduk Fargo di Dakota Utara, mendapati seekor tupai merah kecil telah menyimpan 158kg walnut di dalam trak pikapnya empat hari selepas pulang dari luar bandar.

Ketika memeriksa kenderaannya itu, Fischer terkejut apabila mendapati hud trak pikap tersebut dipenuhi dengan kacang walnut.

Pendek kata, kacang walnut itu memenuhi setiap ruang di dalam enjin keretanya. Dia turut berkongsi gambar keretanya dan sejumlah walnut yang bertaburan di atas jalan.

Turut dimuat naik beberapa imej trak pikap beserta beberapa baldi yang penuh dengan kacang walnut di Facebook.

Fischer juga turut berkongsi komen lucu. “Hei, mari-mari dapatkan Walnut Hitam semula jadi ini! 158kg tersedia untuk anda.

Tumbuh secara semula jadi dan dipetik serta dipilih sendiri oleh tupai, lebih tepat lagi Tupai Merah,” katanya.

Dalam salah satu video yang dikongsi Fischer, anjingnya turut dilihat menyalak ke arah penceroboh kecil itu.

Bercakap kepada Insider, Bill Fischer berkata haiwan tersebut telah menggunakan Chevrolet Avalanche miliknya sebagai tempat menyimpan makanan sejak 2013 lagi.

Namun, tahun ini adalah koleksi walnut terbesar pernah dikumpulnya.

FMT/-

Tiada ulasan: