05 Oktober 2021

Praktis Optometris vs kedai cermin mata

 

Perbezaan ketara antara Praktis Optometris dan kedai cermin mata ialah pelbagai servis dan produk ditawarkan oleh Optometris bertauliah dengan alatan lengkap di Praktis Optometris. (Gambar FMT Ohsem)

Apa itu Praktis Optometris? Adakah ia sama dengan kedai cermin mata? Persoalan yang sering menjadi tanda tanya umum, keliru dan tidak pasti akan fungsi kedua-duanya.

Mari ikuti perjalanan pengalaman Muhamad Syukri Bin Mohamad Rafiuddin, Pengarah Urusan Kumpulan, Optometrist Senior dan pengasas MATA by Optometrist memperjelaskan secara terperinci mengenai perbezaan keduanya.

Pagi di Praktis Optometris

Pada Jumaat lepas, semasa berada di praktis Optometris saya di Puncak Alam, bersedia untuk menerima kehadiran klien yang telah membuat temujanji pemeriksaan mata.

Sambil menunggu temujanji yang sepatutnya berlangsung jam 10 pagi itu, saya duduk di hadapan kaunter melihat suasana di luar yang kelihatan sibuk dengan manusia lalu-lalang di hadapan premis.

Tiba-tiba, kelihatan seorang wanita yang saya anggarkan berusia lingkungan 40-an berbaju kurung biru berdiri di hadapan praktis saya.

Beliau tekun membaca senarai perkhidmatan yang ditawarkan, sesekali kepala ditoleh ke dalam praktis, seakan teragak-agak untuk masuk ke dalam.

Saya terus menuju ke pintu kaca hadapan premis. Saya buka pintu dan bertanya mesra.

“Ya, puan? Ada apa yang saya boleh bantu? Puan nak periksa mata ke? Jemputlah masuk,” sapa saya kepada beliau.

“Boleh periksa mata di sini ya?” tanya beliau.

“Saya tak pasti sama ada ini kedai cermin mata atau bukan. Saya nak buat cermin mata yang baru tapi saya juga ada masalah mata pedih apabila terlalu lama menggunakan komputer.”

Saya tersenyum menjawab, “Ya, boleh periksa mata di sini dan saya boleh bantu puan.”

Rupa-rupanya, beliau tidak pasti sama ada praktis saya ini kedai cermin mata atau bukan.

Itulah antara senario dan juga persoalan yang sering diutarakan oleh klien-klien yang datang ke premis saya sama ada untuk melakukan pemeriksaan mata mahupun yang ingin membeli cermin mata atau kanta lekap.

Produk yang wajib ada dalam sesebuah Praktis Optometris termasuklah bingkai cermin mata, semua jenis kanta cermin mata, semua jenis kanta lekap, kaca mata hitam dan aksesori-aksesori yang berkaitan. (Gambar FMT Ohsem)

Sebenarnya, praktis saya merupakan praktis yang bersifat hibrid. Perkhidmatan yang saya jalankan ialah perkhidmatan pemeriksaan mata atau juga dikenali sebagai “Primary Eye Care” manakala produk yang ditawarkan pula seperti di kedai cermin mata bahkan lebih lengkap dan banyak.

Praktis Optometris sebenarnya menawarkan perkhidmatan dan solusi kepada masalah mata dan penglihatan secara holistik. Ianya bukan sekadar Kedai Cermin Mata.

Persatuan Optometris Malaysia (AMO) kini dalam proses mengklasifikasikan premis-premis optikal di Malaysia bagi membezakan antara Praktis Optometris dengan Kedai Cermin Mata.

Pada pendapat saya, terdapat 3 komponen yang menjadikan sesuatu premis itu ialah Praktis Optometris.

1. Premis mempunyai Optometris berkelayakan, bertauliah dan kompeten.

Optometris ialah individu yang mempunyai kelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Optometri dari universiti yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sama ada universiti tersebut ialah universiti dari dalam atau luar negara.

Setiap Optometris yang telah bergraduasi wajib berdaftar dengan Majlis Optik Malaysia (MOM) iaitu sebuah agensi regulasi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Optometris yang telah berdaftar perlu memperbaharui lesen pengamalan mereka setiap tahun dengan MOM.

MOM mengeluarkan sijil yang wajib dipamerkan oleh Optometris di premis masing-masing sama seperti sijil seorang Doktor mahupun sijil seorang Ahli Farmasi.

Sijil Amalan Optometris yang dikeluarkan oleh MOM ini berwarna hijau. Optometris yang bertauliah juga perlu sentiasa mengemaskini ilmu berkaitan bidang Optometri setiap masa bagi memastikan tahap kompetensi yang optimum.

Mereka wajib hadir ke kursus-kursus berkaitan bidang Optometri supaya ilmu mereka sentiasa diperbaharui dan dapat memberikan manfaat yang terbaik kepada masyarakat.

2. Alatan pemeriksaan mata yang lengkap.

Muhamad Syukri memberi konsultasi kepada klien dalam melakukan pemeriksaan mata dengan peralatan yang lengkap. (Gambar Muhamad Syukri)

Beliau memilih untuk mendapatkan penjagaan mata dan penglihatan beliau melalui Optometrist berkelayakan, bertauliah dan kompeten yang melakukan pemeriksaan mata dengan peralatan yang lengkap dan memberikan beliau nasihat konsultasi serta solusi yang holistik melalui servis dan produk yang pelbagai.

Sesebuah premis perlulah mempunyai peralatan yang mencukupi untuk melakukan pemeriksaan mata yang lengkap sebelum dikenali sebagai Praktis Optometris.

Kebiasaannya, premis optikal atau kedai cermin mata mempunyai alatan asas seperti mesin pemeriksaan kadar rabun yang dikenali sebagai Autorefraktor sahaja.

Manakala, Praktis Optometris pula mempunyai kelengkapan pemeriksaan mata yang boleh melakukan pemeriksaan secara lebih terperinci.

Satu peralatan yang wajib dimiliki bagi seseorang Optometris untuk melaksanakan “Primary Eye Care” ialah Mikroskop Lampu Celah atau “Slit Lamp Biomicroscope”.

Saya selalunya menggunakan istilah mikroskop mata sewaktu saya bercakap dengan klien untuk menggambarkan alat ini.

‘Mikroskop Mata’ ini digunakan oleh Optometris bagi melihat keadaan kesihatan mata termasuklah komponen tisu mata seperti mata hitam, mata putih, kelopak mata, bulu mata, air mata, bukaan anak mata dan kanta dalam mata.

Terdapat juga peralatan lain yang membantu seseorang Optometris melakukan pemeriksaan mata seperti Kamera Fundus (alat bagi melihat keadaan kesihatan bahagian belakang mata iaitu retina), Tonometer (alat mengukur tekanan dalam mata) dan banyak lagi.

3. Servis dan produk yang ditawarkan.

Praktis Optometris bukan sahaja menawarkan pemeriksaan mata asas mahupun pemeriksaan mata yang terperinci bahkan turut menawarkan servis-servis lain berkaitan mata dan penglihatan.

Antaranya ialah servis berkaitan kanta lekap termasuklah kanta lekap lembut, kanta lekap semi keras dan kanta lekap khas, servis berkaitan mata kanak-kanak, servis berkaitan penglihatan binokular serta terapi penglihatan (Binocular Vision & Vision Therapy) dan servis penglihatan terhad (Low Vision).

Produk yang wajib ada dalam sesebuah Praktis Optometris termasuklah bingkai cermin mata, semua jenis kanta cermin mata, semua jenis kanta lekap, kaca mata hitam dan aksesori-aksesori yang berkaitan.

Servis dan produk yang lengkap akan membantu Optometris memberikan solusi yang tepat dan holistik kepada permasalahan mata dan penglihatan seseorang.

Alhamdulillah, wanita berbaju kurung biru yang tercegat di hadapan premis saya pada pagi itu akhirnya mendapat jawapan kepada permasalahan dan kehendak beliau.

Saya berharap anda di luar sana juga mendapatkan penjagaan yang terbaik untuk mata dan penglihatan anda sama seperti puan tadi.

Beliau memilih untuk mendapatkan penjagaan mata dan penglihatan beliau melalui Optometrist berkelayakan, bertauliah dan kompeten yang melakukan pemeriksaan mata dengan peralatan yang lengkap dan memberikan beliau nasihat konsultasi serta solusi yang holistik melalui servis dan produk yang pelbagai.

Inilah yang dipanggil Praktis Optometris.

FMT/-

Tiada ulasan: