15 November 2021

ABPBH 34: Syahmi bangga dengan Asif

 Asif mengejutkan peminat apabila diumum Artis Komedi Popular ABPBH 34 menewaskan calon ‘senior’ iaitu Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce. Foto NSTP

Asif mengejutkan peminat apabila diumum Artis Komedi Popular ABPBH 34 menewaskan calon ‘senior’ iaitu Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Atu Zero dan Ain Edruce. Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Bertanggungjawab memperkenalkan Asif Suhaimi ke platform YouTube dan layar perak, Syahmi Sazli bangga dengan kejayaan diraih sepupunya itu di pentas Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, malam tadi.

Kejayaan Asif menggenggam trofi Artis Komedi Popular menepis dakwaan konon Syahmi atau nama sebenar, Muhammad Syahmi Sazli mengambil kesempatan ke atas keadaan sepupunya yang mengalami autisme dan seorang lagi rakan gandingan, Yoe Parey yang juga insan istimewa.

"Semestinya saya tumpang bangga untuk insan istimewa seperti dirinya yang boleh meraih sokongan peminat. Apatah lagi menewaskan nama besar yang bukan calang-calang.

"Kemenangan itu diharap tidak lagi menjadi modal topik mendakwa saya mempergunakan orang istimewa seperti mereka untuk kepentingan peribadi.

"Niat saya hanya hendak membantu. Selebihnya, bakat mereka diperhatikan dan dibuka pintu rezeki. Ini boleh beri manfaat kepada mereka termasuk menjana pendapatan sendiri," katanya kepada BH Online.

Pelakon dan pengarah Mael Totey The Movie ini berkata, dia pada mulanya keberatan menemani Asif ke Malam Kemuncak ABPBH 34.

"Pada asalnya, saya meminta isteri (Anissa Faizul) temankan Asif. Tetapi selepas wartawan BH mencadangkan saya yang hadir dengan memberi alasan konkrit, saya setuju.

"Saya diberitahu kemenangan Asif akan jadi lagi bermakna dan dikenang jika saya ada di sisinya. Saya berterima kasih kepada mereka yang sudi mengundi untuk Asif.

"Terima kasih BH dan ABPBH 34 atas penganjuran acara ini," katanya.

Syahmi yang bolos Top 5 kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Pelakon Filem Lelaki Popular, Gandingan Serasi Filem Popular dan YouTuber Popular, akur rezeki tidak berpihak kepadanya.

"Tak mengapa, saya percaya ini permulaan. Apa yang lebih utama, saya terus berkarya.

"Insya-Allah, saya akan mengarahkan filem kedua berjudul 35 MM yang turut dibintangi Asif, tidak lama lagi," katanya.

Filem Mael Totey The Movie meraih kutipan RM6.4 juta dalam tempoh 24 hari tayangan di platform Astro First.

Filem yang mula ditayangkan pada 22 Oktober tahun lalu itu dilaporkan memecah dominasi rekod filem Polis Evo dan Hantu Kak Limah sebagai filem terlaris untuk tayangan platform itu.

Pembikinan filem berkenaan juga menarik perhatian kerana kos menghasilkannya hanya kira-kira RM400,000 yang dibiayai Syahmi sendiri.

BHARIAN.

Tiada ulasan: