SHAH ALAM: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Ikrar PN Untuk Melaka, manifesto gabungan itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan slogan 'Melaka Bangkit Gemilang'.
Muhyiddin berkata, Ikrar PN Untuk Melaka berteraskan enam tunjang utama, 11 strategi dan 74 pendekatan yang berteraskan suara rakyat.
Katanya, tunjang berkenaan ialah keutuhan ekonomi, keprihatinan kepada rakyat, kelestarian alam sekitar, kecekapan infrastruktur serta keteguhan dan kejujuran pentadbiran.
Selain itu, katanya, PN menyediakan ikrar berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan bagi membentuk Melaka sebagai negeri maju, prihatin rakyat dan dipimpin pasukan berintegriti.
"Dalam aspek ekonomi, Melaka mempunyai potensi cukup besar untuk dimaju dan dipacu ke tahap jauh lebih tinggi, termasuklah dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan agromakanan serta pelancongan.
"PN akan memastikan ekonomi Melaka dibangunkan supaya lebih utuh dan mampan, termasuklah tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi serta fokus kepada pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
"PN juga akan memastikan aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi, serta pendidikan setiap lapisan masyakarat diberi perhatian sepenuhnya bagi membina bakat masa hadapan hebat dalam kalangan anak watan Melaka," katanya di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Hadir sama, Naib Presiden BERSATU merangkap Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PN, Datuk Dr Radzi Jidin; Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, PN akan mengambil pendekatan bagi merancakkan semula industri pelancongan Melaka berikutan kedudukannya sangat strategik.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, PN juga berikrar memperkukuh penyediaan infrastruktur cekap, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta sistem saliran dan tebatan banjir, selain menyediakan pelan induk penyuraian trafik, terutama di kawasan tumpuan pelancong.
"Keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran kerajaan Melaka adalah tunjang penting bagi menjayakan setiap strategi dan pendekatan dirancang.
"Agenda untuk memperkasa perkhidmatan awam negeri dipergiat melalui pendigitalan dan pembabitan secara terus dengan rakyat. Pemerkasaan ini turut membabitkan tadbir urus cekap dan berintegriti bagi agensi serta syarikat milik kerajaan negeri," katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, bagi memastikan tawaran Ikrar PN untuk Melaka dipenuhi, Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan dianggotai golongan profesional dan berpengalaman dalam kalangan anak jati negeri itu akan ditubuhkan.
Ikrar itu adalah manifestasi kesungguhan PN untuk memastikan janji yang dibuat untuk rakyat di Melaka itu akan direalisasikan menerusi daya usaha yang gigih dan telus.
"Sejarah menceritakan tentang kegemilangan Melaka lama dahulu. Saya yakin semangat dan kekuatan ini sebenarnya masih ada dalam diri warga Melaka.
"Sayangnya semangat dan kekuatan ini tidak diterjemah dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pimpinan kerajaan negeri sebelum ini. Saya percaya perang politik berterusan dalam kalangan mereka sendiri menyebabkan hasrat untuk memaju dan mengembalikan kegemilangan Melaka terbantut.
"Cukuplah pengalaman pahit saudara dan saudari serta kita semua lalui sebelum ini. Kali ini, saya menyeru agar seluruh rakyat Melaka bersatu hati dan memberi mandat kepada PN untuk bersama melakarkan sejarah baharu," katanya.
BHARIAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan