10 November 2021

Mercedes-Benz panggil balik model tertentu isu beg udara

 Semua kereta penumpang Mercedes-Benz tidak lagi menggunakan beg udara Takata - Foto hiasan

Semua kereta penumpang Mercedes-Benz tidak lagi menggunakan beg udara Takata - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memanggil balik model tertentu keluarannya susulan masalah berpotensi berkaitan beg udara Takata selaras dengan pematuhan kelulusan Eropah.

Dalam satu kenyataan, MBM berkata, langkah panggilan balik itu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pelanggan dan meningkatkan pemahaman mengenai keadaan model beg udara dalam kenderaan selepas melalui tempoh yang lama.

"Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Pada pertengahan 2019, kami memutuskan untuk melaksanakan panggilan semula di seluruh dunia bagi model Mercedes-Benz, Van dan MB Trucks yang terjejas.

"Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan Sistem Keselamatan Joyson (organisasi yang menggantikan Takata) untuk bertukar penemuan dan pandangan terkini," katanya.

Kenyataan itu menyebut, MBM dan Daimler AG ingin meyakinkan pelanggannya bahawa semua kereta penumpang Mercedes-Benz tidak lagi menggunakan beg udara Takata (atau pengeluar lain) yang berasaskan ammonium nitrat sebagai propelan utama.

"Syarikat akan terus mengekalkan ketelusan dan kawalan kualiti yang ketat kerana keselamatan pelanggan adalah keutamaan pada setiap masa," katanya.

Di peringkat tempatan, kereta penumpang merentasi pelbagai platform model yang dipanggil balik adalah 169 (A-Class), 203, 204 (C-Class), X204 (GLK), 207 (E-Coupé/ Convertible), 212 (E-Class), 164 (ML-Class dan GL-Class), 251 (R-Class), 171 (SLK), 197 (SLS AMG) bagi pengeluaran 2004 hingga 2016 yang dikenal pasti sebagai model yang terbabit dalam program berkenaan.

Semua pemilik Mercedes-Benz terbabit boleh memeriksa VIN kenderaan masing-masing di laman mikro Mercedes-Benz iaitu http://mb4.me/airbagrecall atau menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan 1-800-88-1133 untuk mengesahkan sama ada kereta mereka dikenal pasti untuk program pemantauan sukarela itu.

"MBM menggesa semua pelanggan terjejas untuk menghubungi pengedar sah, Pusat Khidmat Pelanggan atau menggunakan kemudahan tempahan dalam talian selepas menerima pemberitahuan untuk menggantikan beg udara, tertakluk kepada ketersediaan alat ganti.

"Pelanggan juga dimaklumkan secara dalam talian dan ditawarkan beg udara gantian baharu secara percuma sekiranya beg udara mereka terjejas," kata MBM.

BHARIAN.

Tiada ulasan: