10 November 2021

Petugas PAS jangan terpengaruh keputusan PRU14

 

Ahmad Marzuk bersama Cikgu Abu Hashim (kirin) dan , Ustaz Imran.

MASJID TANAH: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Ahmad Marzuk Shaary berharap petugas-petugas parti tidak lemah semangat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka semata-mata dengan melihat keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).


Ini, katanya kerana pada masa itu cara dan naratifnya berbeza.

“Ada yang dah berubah, ada yang dah menyeberang. Apa yang paling penting usaha kena kuat. Usaha kena gigih untuk mencipta rekod baharu, boleh memadamkan rekod PRU14.

“Dan insya-Allah akan ada kejutan yang menanti kita apabila kita bekerja bersungguh-sungguh dan betul dari segi strategi dan tepat dari segi usaha kerja yang kita buat,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata demikian kepada Harakahdaily ketika mengadakan lawatan ke Bilik Operasi Induk Perikatan Nasional bagi DUN N05 Taboh Naning, hari ini.

Turut serta ialah Yang Dipertua PAS Kawasan Masjid Tanah, Ustaz Imran Abdul Rahman dan calon Perikatan Nasional daripada PAS, Cikgu Abu Hashim Abdul Samad.

Cikgu Abu Hashim yang merupakan seorang tokoh pendidik bakal ditentang dalam pertandingan tiga penjuru dengan Zulkiflee Mohd Zin daripada BN-Umno dan Zairi Suboh (PH-PAN).

Mengulas tentang pertarungan antara dua parti kerajaan iaitu Perikatan Nasional dan BN dalam PRN Melaka, Marzuk percaya bahawa perkara itu tidak akan memberi kesan signifikan pada pentadbiran Putrajaya.

“Barangkali situasi Melaka ini agak unik dan berbeza. Tetapi di peringkat Putrajaya itu kita bekerjasama dengan semua parti politik bukan sahaja yang mendukung kerajaan dalam kalangan Bersatu, Umno dan juga PAS, MCA, MIC dan juga GPS, bahkan dengan pembangkang pun.

“Demi kestabilan di peringkat Putrajaya ini kerajaan sudah menandatangani Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA).

“Pada saya apa yang berlaku di Melaka ini tidak akan memberi kesan kepada pentadbiran kita di peringkat Putrajaya kerana di Putrajaya kita sudah ada roadmap kita sendiri untuk menjaga kestabilan politik negara, bukan sahaja bekerjasama dengan Umno dan Bersatu, tetapi dengan pembangkang sekali,” ujar beliau.

Pada PRN Melaka, lapan calon Perikatan Nasional daripada PAS yang bertanding ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sedik (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi pada 20 November manakala undi awal 16 November. – HARAKAHDAILY 9/11/2021

Tiada ulasan: