19 November 2021

AirAsia lancar teknologi pengecaman wajah

 Amanda Woo.

Amanda Woo.

KUALA LUMPUR: Airasia Super App melancarkan FACES, teknologi pengecaman wajah pertama di rantau ini yang mengenal pasti pelanggan melalui pengecaman wajah segera, untuk memesan dan membayar banyak tawaran perjalanan dan gaya hidup dalam satu aplikasi.

Ketua Pegawai Eksekutif Airasia Super App, Amanda Woo, berkata pada mulanya dilancarkan untuk perjalanan udara, FACES akan memudahkan pengesahan pembayaran, mengesahkan penunggang penghantar makanan dan penerima serta berpotensi mengesahkan pemandu dan penumpang dalam perjalanan dan daftar masuk hotel yang bergabung dengan AirAsia.

"Teknologi pengecaman wajah ini juga membolehkan kami memudahkan pengguna untuk mengakses produk dan perkhidmatan dengan mudah dan selamat, serta membantu usaha kami untuk menambah baik perkhidmatan dan pengalaman

"Semua pengguna airasia Super App di seluruh rantau ini boleh mendaftar untuk FACES dengan mudah pada aplikasi ini dan tidak lama lagi bukan sahaja untuk perjalanan tetapi juga untuk semua tawaran gaya hidup dalam ekosistem kami yang berkembang pesat," katanya di pelancaran FACES di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Produk & Teknologi AirAsia Pablo Sanz Salcedo berkata FACES akan terus dilancarkan di lapangan terbang di seluruh Malaysia dalam tempoh 12 bulan akan datang, termasuklah dengan rakan kongsi perniagaan lain.

"Salah satu inisiatif yang kami bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) adalah untuk menaik taraf dan membolehkan penggunaannya di kawasan penyerahan bagasi.

"Menggunakan FACES, teknologi ini akan mengesahkan siapa anda dan membolehkan anda menyerahkan beg anda dengan lebih pantas, lebih mudah dan lancar tanpa meletakkan kakitangan di sana," katanya.

Pablo berkata teknologi pengecaman wajah itu juga akan dilancarkan tahun depan di hab utama di Thailand, Indonesia dan Filipina dan berharap menjelang 2023, sekurang-kurangnya 150 buah lapangan terbang dalam rangkaiannya boleh menggunakan FACES termasuk di bahagian tertentu di Australia dan China.

– Bernama

Tiada ulasan: