18 November 2021

Mas Ermieyati calon Ketua Menteri PN

 Mas Ermieyati  dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka oleh PErikatan Nasional (PN). - Foto NSTP/ Hazreen Mohamad

Mas Ermieyati dicalonkan sebagai Ketua Menteri Melaka oleh PErikatan Nasional (PN). - Foto NSTP/ Hazreen Mohamad

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Ahli Parlimen Masjid Tanah yang bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka.

Pencalonan Mas Ermieyati yang juga Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media di pejabat PN, di sini hari ini.

Muhyiddin bersama barisan pemimpin tertinggi PN mengumumkan Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka. - Foto NSTP/ Hazreen Mohamad
Muhyiddin bersama barisan pemimpin tertinggi PN mengumumkan Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka. - Foto NSTP/ Hazreen Mohamad

Muhyiddin berkata, pemilihan Mas Ermieyati itu diputuskan sebulat suara pada mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN.

"Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara, seorang wanita yang berkelayakan tinggi dalam kalangan professional muda mempunyai banyak pengalaman ditawarkan sebagai calon Ketua Menteri.

"Saya rasa belum pernah ada di negara kita (pencalonan wanita sebagai Ketua Menteri) tapi terbukti bahawa PN sentiasa memberikan peluang kepada sesiapa saja, tidak kira jantina untuk memegang jawatan penting seperti ini," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Mas Ermieyati.

Yang turut hadir, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau Hoe Chai.

PN bertanding di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka, 20 November ini dengan parti komponennya BERSATU bertanding di 15 kerusi manakala PAS, lapan dan Gerakan, lima.

Mas Ermieyati, 45, kini adalah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang). Beliau juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU dan Naib Ketua Srikandi BERSATU.

Selain Mas Ermieyati daripada PN, dua gabungan parti lain yang bertanding dalam PRN Melaka sudah menamakan calon masing-masing.

Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Seri Sulaiman Md Ali sebagai calon ketua menteri, manakala Adly Zahari mewakili Pakatan Harapan (PH) yang mana kedua-duanya pernah memegang jawatan Ketua Menteri.

Muhyiddin berkata, pencalonan Mas Ermieyati itu melakar sejarah baharu menjadikan Melaka negeri pertama yang akan nanti mempunyai satu-satunya Ketua Menteri wanita.

"Orang kata, di Melaka ini segala-galanya bermula. Ini adalah terbukti Melaka melakar sejarah negeri pertama yang akan nanti wanita terpilih menjadi Ketua Menteri dengan harapan PN yang mempertaruhkan 28 calon mencapai kemenangan yang besar.

Tanpa memperincikan sebab pemilihan Mas Ermieyati, Muhyiddin menaruh keyakinan pengundi boleh menerima calon Ketua Menteri wanita.

"Saya fikir apa yang telah kita anjurkan, satu yang nak ingatkan balik mengenai aku janji menentang rasuah, menjadikan PN satu-satu parti yang berbuat demikian," katanya.

Ditanya sama ada pengundi dapat menerima pencalonan Mas Ermieyati itu, Muhyiddin berkata: "Ya kita harap (calon kita) diterima kerana saya pun dah lama turun ke gelangang di bawah dan saya dapati pengundi Melaka cukup luas pengetahuan politik".

Pengundi di Melaka katanya, mahukan seorang pemimpin yang berwibawa dan mereka tidak sebut lelaki atau perempuan, tapi yang bersih dan ada pengalaman.

"Kelayakan dan boleh buat kerja, rekod yang baik dan semua ini ada pada Mas Ermieyati. Saya fikir ini adalah calon yang agak mudah diterima kalau dari segi budi bahasa santun peramah, ...kerana beliau ahli politik lama," katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati ketika ditemui selepas sidang media mengucapkan terima kasih dan penghargaann kepada kepimpinan PN atas pencalonnya sebagai Ketua Menteri.

"Saya tahu walaupun hanya calon tetapi saya membawa satu tanggung jawab dan amanah besar untuk PRN kali ini.

"Saya juga nak ucap terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Rafiq selaku Pengerusi Badan Perhubungan Melaka yang telah meletakkan asas PN yang kukuh di Melaka begitu juga dengan sokongan daripada kawan-kawan lain.

"Kita akan buat yang terbaik untuk PRN kali ini dan ini satu penghargaan sangat besar bukan untuk saya tapi untuk wanita seluruh negara. ...jadi ini masa kita berganding bahu untuk sama buktikan wanita juga tak mustahil dalam apa juga perkara," katanya.

Beliau juga menaruh keyakinan untuk menang DUN Tanjung Bidara walaupun mengakui ia kawasan tradisi BN.

BHARIAN.

Tiada ulasan: