18 November 2021

Poster PH dipercayai langgar peraturan pilihan raya

 

MELAKA: Pakatan Harapan (PH) dipercayai melanggar peraturan pilihan raya dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana menggunakan bahan poster yang boleh mengelirukan pengundi.

Pengarah Operasi Pilihan Raya PAS Negeri Melaka, Dr Wan Nik Wan Yusoff berkata, PH seolah-olah terdesak dan tiada integriti sehingga terpaksa memasang poster #Adly Zahari MYCM (Ketua Menteri Saya) untuk mempengaruhi pengundi.



Apatah lagi poster calon PH yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Adly yang bertanding di DUN Bukit Katil boleh ditemui di DUN Kuala Linggi.

“Dia buat kesalahan atas kesalahan akta pilihan raya. Gambar calon bertanding hanya boleh dipamerkan di kawasan yang dia tanding.

“Adly ini bertanding di Bukit Katil, Parlimen Hang Tuah Jaya sudah tentu menjadi kesalahan kerana poster itu berada di luar daripada DUN yang dia bertanding.

“Poster yang kita kesan itu dengan tagline #Adly Zahari MYCM kita percaya ini pendekatan mereka untuk mempengaruhi pengundi dan di sebalik penggunaan MYCM itu sebenarnya dia telah meletakkan rakyat Melaka semua sokong dia,” kata Wan Nik yang ditemui Harakahdaily dekat sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau telah mengarahkan jentera yang bertugas di Kuala Linggi supaya membuat laporan berhubung perkara itu kepada anggota penguatkuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertugas dekat situ.

Jelasnya, meskipun PH telah mengumumkan Adly sebagai calon Ketua Menteri mereka namun tetap menjadi kesalahan kerana Adly bukan lagi Ketua Menteri.

“Kekeliruan (ini) yang perlu kita perbetulkan dalam kempen ini, sesuatu kepalsuan digunakan yang menyalahi integriti walaupun orang melihat si Adly ni semasa dia menjadi CM (Ketua Menteri) dia terbaik tapi dengan menggunakan tagline ini, ia menjadi satu platform yang tidak tepat.

“Kita cuma dedahkan kepada pengundi, ketelusan sebenar pemimpin PH dalam isu ini yang menyentuh tentang aspek integriti dan rakyat perlu faham.

“Setakat ini kita nampak hanya Perikatan Nasional sahaja guna gambar Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku pengerusi Perikatan Nasional untuk memberi satu maklumat bahawa Perikatan Nasional bertanding di Melaka,” ujar Wan Nik.

Katanya lagi, pihak lain tidak berani berkempen menggunakan gambar pemimpin utama mereka kerana terpalit dengan pelbagai isu berkaitan integriti.

“Mesti kekuatan muafakat parti ini dari presiden. Jadi ini menunjukkan mereka ini ada masalah untuk mempengaruhi pengundi dengan menggunakan figure penting dalam parti mereka sebab nominasi kempen kita di Melaka isunya integriti,” tambah Wan Nik.

Pada PRN Melaka kali ini, lapan calon daripada PAS yang bertanding menggunakan lambang Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua Menteri. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

Tiada ulasan: