Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) memutuskan untuk menamakan Dato’ Mas Ermieyati Samsuddin sebagai calon Ketua Menteri (KM) Melaka berikutan ahli Parlimen Masjid Tanah itu merupakan seorang yang berkelayakan, profesional, muda dan mempunyai banyak pengalaman.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengumuman itu menjadi bukti bahawa PN sentiasa memberi ruang kepada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina untuk memegang jawatan penting.
“Keputusan pimpinan PN bersetuju menamakan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri PN.
“Saya pun tahu tak pernah ada di negara kita (calon Ketua Menteri seorang wanita), tetapi terbukti PN sentiasa memberi ruang kepada sesiapa sahaja tak kira jantina baik lelaki mahu pun wanita untuk memegang jawatan-jawatan penting seperti itu.
“Ini terbukti Melaka melakar sejarah negeri pertama kita harapkan akan nanti terpilih menjadi Ketua Menteri dengan harapan PN yang mempertaruhkan calon di 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh mencapai kemenangan besar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PN, di sini, hari ini.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hanya dua hari sebelum hari mengundi pada Sabtu ini, berbanding Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang sudahpun menamakan calon Ketua Menteri masing-masing lebih awal.
Mas Ermieyati akan bertanding di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dan akan ditentang calon BN, Dato’ Seri Ab Rauf Yusoh serta calon PH, Zainal Hassan.
Muhyiddin berkata, pihaknya menaruh harapan agar pengundi Melaka dapat menerima pencalonan Mas Ermieyati sebagai calon Ketua Menteri negeri mereka itu.
“Saya sudah lama turun gelanggang ke bawah dan saya dapati pengundi di Melaka cukup luas pengetahuan politik.
“Dia (pengundi) tak sebut lelaki atau perempuan, tetapi dia mahu pemimpin bersih, ada pengalaman selain kelayakan, boleh buat kerja dan track record (bagus), kesemua ini ada pada Mas Ermieyati.
“Saya fikir ini (Mas Ermieyati) ialah calon yang agak mudah diterima. Jika dari segi budi bahasa santun peramah tak perlu cakap lagi, memang orang Melaka kenal beliau (yang) telah menjadi ahli politik lama di situ.
“Jadi kita harap mereka (pengundi Melaka) bersikap terbuka untuk terima beliau (Mas Ermieyati) sebagai calon Ketua Menteri (Melaka),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan