25 November 2021

Turkish Aerospace buka pejabat pertama di Malaysia

 

KUALA LUMPUR: Turkish Aerospace membuka pejabat baharunya, pusat reka bentuk dan kejuruteraan pertamanya di Asia Tenggara di kampus Cyberview Futurise di Selangor.

Dalam satu kenyataan bersama, Turkish Aerospace berkata, ia juga akan terus melabur dan menjalinkan kerjasama di Malaysia bagi membangunkan teknologi generasi baharu termasuk dalam bidang industri pertahanan dan penerbangan.

"Sebagai antara syarikat terkemuka dalam industri penerbangan global, kami meluaskan jangkauan dengan menubuhkan lebih daripada 10 pejabat teknologi di seluruh dunia," katanya.

Menerusi kerjasama itu, jurutera Turki dan Malaysia akan bekerja dalam suasana pejabat baharu untuk menjalankan kajian bersama dalam pelbagai bidang termasuk kenderaan udara tanpa pemandu, jurulatih jet, projek helikopter dan program pemodenan untuk ekosistem penerbangan global.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata pembukaan pejabat reka bentuk dan teknologi pertama Turkish Aerospace di Malaysia adalah sesuai untuk Malaysia bagi melihat bagaimana negara boleh berkongsi kepakaran bersama untuk aliran kerja selamat untuk manfaat Turki dan industri aeroangkasa Malaysia.

"Turki memiliki sektor pertahanan dan aeroangkasa antara paling pesat membangun di dunia dan pertama dalam dunia Islam," katanya ketika merasmikan pejabat baharu Turkish Aerospace.

Mohamed Azmin berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Turki terus berkembang dari satu kekuatan ke satu kekuatan dan perbincangan antara Malaysia dan Turki mengenai pengembangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) telah mencapai kemajuan yang besar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MID), Datuk Arham Abdul Rahman berkata, jejak Turkish Aerospace di Malaysia akan memperkukuhkan ekosistem aeroangkasa negara yang mana menjadi platform kepada syarikat itu meluaskan kehadirannya di ASEAN termasuk dalam sektor pembuatan serta perkhidmatan bernilai tinggi.

"Kos yang kompetitif untuk menjalankan perniagaan di Malaysia sudah pasti akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dalam meningkatkan kepakaran tempatan serta status pensijilan negara," katanya dalam kenyataan sama.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Turkish Aerospace, Prof Temel Kotil pula berkata, pembabitan jurutera kedua-dua negara akan mengukuhkan hubungan dua negara dan pejabat itu akan menjadi tuan rumah untuk kajian penting bagi Malaysia dan Turki bagi membangunkan projek bersama dalam bidang penerbangan, angkasa dan pertahanan.

"Kami menyasar untuk mengembangkan pengalaman dalam bidang ini dalam skop projek bersama dengan Malaysia dan untuk mengukuhkan industri penerbangan global, terutamanya di rantau kami.

"Saya berharap pejabat kami yang baru dibuka di Malaysia akan memberi manfaat dalam meningkatkan hubungan antara kedua-dua negara, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan saya atas usaha mereka," katanya.

Bagi Duta Turki ke Malaysia, Dr Merve Kavakcı, kehadiran fizikal Turkish Aerospace iaitu syarikat terkemuka di Turki dalam bidang aeroangkasa dan pertahanan akan saling menguntungkan untuk hubungan antara kedua-dua negara.

"Kami gembira melihat syarikat industri pertahanan Turki terbabit dalam banyak projek kerjasama padu di bahagian yang berbeza di dunia. Malah, pembukaan hari ini adalah contoh yang baik untuk ini.

"Kami mempunyai hubungan politik dan komersial yang kukuh dengan Malaysia. Kami komited mencari kemajuan selanjutnya melalui kerjasama baharu dalam bidang industri pertahanan.

"Malaysia ialah rakan perdagangan dan strategik terbesar kami di Asia Tenggara. Sama seperti Turki, ia terletak pada kedudukan yang sangat strategik. Pembukaan pejabat baharu ini ini menunjukkan bahawa syarikat Turki yakin dengan Malaysia yang kukuh, stabil dan makmur," katanya.

Berdasarkan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), menjadi negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara adalah salah satu tumpuan negara bagi memenuhi objektif yang lebih luas untuk mencapai Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia.

Sehingga Jun 2021, sejumlah 13 projek pembuatan dengan penyertaan Turki telah diluluskan dengan jumlah pelaburan RM510.4 juta.

BHARIAN.

Tiada ulasan: