25 November 2021

Perkhidmatan 5G dijangka lebih murah berbanding 4G

 

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Caj perkhidmatan capaian 5G kepada rakyat pada masa akan datang dijangka lebih murah berbanding caj perkhimatan 4G kini.

Menteri Kewangan, Senator Dato’ Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata difahamkan Digital Nasonal Berhad (DNB) akan mengenakan harga kurang dari 20 sen bagi setiap gigabait (GB) untuk capaian 5G kepada syarikat telekomunikasi.

Katanya, harga tersebut jauh lebih rendah berbanding harga tambahan semasa bagi setiap capaian 4G yang dihasilkan syarikat telekomunikasi, iaitu antara 45 sen hingga 55 sen.

“Harga atau caj perkhidmatan 5G kepada rakyat pada masa akan datang dijangka jauh lebih rendah, berbanding kos penggunaan 4G pada masa sekarang.

“DNB akan mengenakan caj kurang dari 20 sen bagi setiap GB untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi berbanding kos tambahan bagi setiap GB 4G yang dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lukanisman Awang Sauni (GPS-Sibuti) semasa sesi waktu pertanyaan menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, melalui model rangkaian burung tunggal atau single wholesale network (SWN), syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang, atau kira kira RM350 hingga RM400 juta setahun.

Katanya, jumlah itu adalah jauh lebih rendah daripada RM1 bilion yang merupakan perbelanjaan modal 4G yang dilaburkan syarikat telekomunikasi setiap tahun kini.

“Ini bermakna syarikat telekomunikasi akan mendapat penjimatan lebih dari 50 peratus dan penjimatan tersebut dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna.

“Pada masa sama, syarikat telekomunikasi juga boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham masing-masing,” katanya.

Selain kos yang lebih rendah serta tanpa kos perbelanjaan yang ketara, kata Tengku Zafrul, syarikat telekomunikasi juga akan dapat menyampaikan perkhidmatan 5G lebih awal, berbanding jika cuba melancarkannya sendiri.

Tindakan itu katanya, pasti akan membawa manfaat yang besar kepada rakyat, perniagaan, dan kerajaan. – HARAKAHDAILY 25/11/2021

Tiada ulasan: