30 Disember 2021

PRU15: Majlis Syura setuju perkasa MN, PN

 

KUALA LUMPUR: Muzakarah Majlis Syura Ulamak bersetuju untuk menegaskan kepentingan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.


Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, persetujuan itu dicapai Majlis Syura Ulamak yang bersidang semalam (29 Disember) bertajuk ‘Hala Tuju Ta’awun Siyaasi dan Misi Pilihan raya PAS PPilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)’.

Menurutnya, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimumnya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam PRU15 dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.

Ini, jelasnya selaras dengan panduan Allah dalam Surah al-Anfal, ayat 46 yang bermaksud: “Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah bertelingkah lalu kamu gagal dan hilanglah kekuatan kamu. Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar”

Beliau menambah, semangat ta’awun siyasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

“Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak daripada menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ia sesuai dengan perintah Allah dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang bermaksud: “Maka dengan rahmat daripada Allah kamu bersikap lunak terhadap mereka. Dan jika kamu bersikap kasar, keras hati pasti mereka bertempiaran lari dari keliling kamu maka maafkanlah mereka, mohonlah keampunan Allah buat mereka dan berunding serta bermusyawarah dengan mereka dalam urusan tersebut. Seterusnya apabila kamu telah bertekad maka bertawakkal berserah dirilah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah suka orang-orang yang sentiasa bertawakkal menyerah diri (kepada Allah)”.

Tambah beliau lagi, Majlis Syura Ulamak juga mengucapkan takziah kepada mangsa banjir dan terima kasih tidak terhingga kepada misi-misi bantuan yang sedang berjalan.

“Dalam masa yang sama, Majlis Syura Ulamak menyeru semua lapisan masyarakat melipatgandakan lagi usaha-usaha membantu mangsa banjir yang terjejas teruk dari sudut material,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/12/2021

Tiada ulasan: