SUZAIRI Zakaria (tengah) bersama golongan wanita dan kanak-kanak Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Kelantan pada 2009.
KUALA TERENGGANU: Keinginan untuk merakamkan perjalanan hidup Orang Asli suku Bateq di Kampung Kuala Koh, Kelantan mendorong seorang jurugambar dan penyelidik bebas di negeri ini menghabiskan masa hampir 13 tahun bersama komuniti itu.
Suzairi Zakaria, 46, atau lebih dikenali sebagai Dome Nikong berkata, sepanjang tempoh tersebut, pelbagai momen menarik berjaya dirakam termasuk cara hidup kalangan mereka yang masih berpindah-randah di samping ritual-ritual perubatan tradisi.
Katanya, idea untuk melaksanakan projek dokumentasi itu tercetus sejak 2009 hingga kini bagi memastikan kehidupan asal suku Bateq dapat direkodkan dalam bentuk visual untuk rujukan generasi akan datang.
“Saya mula didedahkan dengan komuniti Orang Asli oleh seorang kartunis, Jaafar Taib semasa kami mengambil gambar di Tasik Kenyir pada 2008, lalu saya terfikir untuk membuat projek dokumentasi kerana pada masa itu, tiada jurugambar yang melakukannya secara serius.
“Saya memilih suku Bateq di Kuala Koh kerana mereka mempunyai keunikan tersendiri dan sehingga kini puluhan ribu gambar sudah dirakam di sana, jadi besar harapan saya agar semua memori sepanjang 13 tahun itu dapat diabadikan dalam bentuk buku untuk tatapan masa depan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Suzairi berkata, buku yang dijangka siap tahun ini akan mengumpulkan koleksi gambar bermula daripada kelahiran bayi dalam komuniti itu disusuli cara hidup, masalah setempat hingga kematian.
Sementara itu katanya, pada peringkat awal agak sukar untuk membina kepercayaan kerana sifat pemalu kalangan komuniti tersebut terutama golongan wanita dan kanak-kanak yang masih asing dengan masyarakat luar.
Malah katanya, dia terpaksa mengambil masa hampir lima tahun untuk diterima oleh semua suku Bateq di Kuala Koh dan percutian paling lama bersama mereka adalah selama dua minggu ketika musim buah hutan.
“Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah semasa merakam perkuburan di atas pokok yang sebelum ini hanya didengari dan dibaca daripada buku-buku antropologi di samping perubatan tradisional menggunakan darah yang diambil di betis,” katanya.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan